Sepanjang 80 tahun selepas membuat kemunculan dalam DC Comics sejak Jun 1938, Superman sehingga kini masih diingati, diminati dan terus dianggap sebagai adiwira sepanjang zaman.

Malah, DC Comics juga dilihat ‘bergantung harap’ kepada Superman untuk terus mengekalkan kelangsungannya dalam industri biarpun sebelum ini pernah menerbitkan beberapa watak adiwira lain seperti Batman, Wonder Woman, The Flash dan Green Lantern.

Seorang pekerja kedai komik, Jared Smith berkata, Superman merupakan watak adiwira idola semua dan sentiasa digambarkan sebagai seorang yang bertindak tepat dan sering membuat kebaikan.

“Penampilan sulung Superman dalam DC Comics mene­rima sambutan amat mengga­lakkan dan selepas 80 tahun, keadaan itu masih bertahan sehingga kini,” katanya.

Terkenal dengan sut baju berwarna biru dan merah serta lambang huruf S, Superman te­rus ‘berkhidmat’ dalam budaya masyarakat AS menerusi cara tersendiri.

Penerimaan rakyat negara ini terhadap fenomena Superman tidak pernah berhenti, selain menyaksikan pekan Illinois di Metropolis yang dikatakan sebagai ‘tempat lahir’ adiwira itu akan menganjurkan aktiviti tahunan bagi meraikan ‘kewujudan dan sumbangannya’ kepada masyarakat.

Penulis komik Marvel ter­kenal, Michael Bendis turut menyi­fatkan watak Superman sebagai jiwa dan pusat kepada semua penciptaan watak-watak adiwira yang lain.

“Superman mempunyai legasi tersendiri dan namanya akan terus mekar dalam jiwa rakyat AS,” katanya. – AFP