SEORANG wanita mengemis daripada orang ramai yang lalu di hadapan sebuah bangunan di China.

Kisah warga emas berusia 79 tahun itu menjadi tajuk utama media selepas kakitangan di Stesen Kereta Api Hangzhou Timur membuat pengumuman dengan memberi amaran kepada penumpang agar tidak terpengaruh dengan kisah yang diceritakan oleh warga emas berkenaan.

Perkara itu disahkan oleh anak lelaki wanita tersebut yang memberitahu wartawan bahawa keluarganya adalah golongan berada dan tinggal di vila mewah, memiliki banyak hartanah, sebahagiannya disewakan kepada peniaga tempatan dan dia sendiri mengurus sebuah kilang milik keluar­ganya.

Kata lelaki itu, dia telah beberapa kali melarang ibunya meminta sedekah tetapi wanita berkenaan tetap berdegil.

“Saya telah berkata kepa­danya bahawa kami mahu menjaga imej keluarga dan setiap hari kami hidangkan makanan lazat untuknya tetapi dia tetap berdegil mahu keluar untuk mengemis.

“Malah dia memiliki wang yang banyak dan mempunyai beberapa akaun bank di sini,” katanya yang dilaporkan oleh portal Oddity Central.

Warga emas itu mula menjalankan aktivitinya di stesen kereta api dengan menjual peta tetapi dihalang oleh pihak pentadbiran stesen kerana mengganggu orang ramai lantas dia bertindak mengemis.

Dia akan tiba pukul 10 pagi setiap hari dan hanya akan keluar dari stesen berkenaan pukul 8 malam malah mempe­roleh sekitar 300 yuan (RM180) setiap hari.

Anak lelakinya mendakwa terpaksa mengedarkan gambar ibunya itu bagi memaklumkan orang ramai agar tidak memberi wang kepada wanita ber­kenaan namun usahanya gagal dan kini kakitangan stesen tersebut menggunakan pende­ka­tan sendiri.

Warga Shanghai melaporkan warga emas itu memberitahu dia tidak mahu duduk di rumah sepanjang hari dan terpaksa mengemis kerana tidak mempunyai cukup wang untuk me­ngupah penjaga.