Lebih 20 wanita muda di bahagian barat Bandar Herat memperlihatkan kehebatan mereka sebagai pakar komputer dengan membina aplikasi dan laman sesawang serta menjejaki pepijat atau bug dalam kod komputer.

Seperti mana pasukan pelajar sekolah perempuan Afghanistan yang menarik perhatian dunia tahun lalu apabila menyertai pertandingan robotik di Amerika Syarikat (AS), pencipta kod program komputer ini turut turut berjaya menunjukkan bakat luar biasa mereka apabila diberi peluang.

“Pencipta kod ini bekerja dari rumah, sekali gus memberikan peluang kepada mereka untuk membina peluang kerjaya baharu bukan sahaja untuk diri mereka sendiri tetapi juga kepada generasi akan datang,” kata Hasib Rasa, pengurus projek Code to Inspire, yang mengajar pelajar wanita di Herat.

Lebih 90 remaja dan wanita muda dilatih dalam mencipta kod dan membangunkan perisian , kerjaya yang sering dilihat tidak sesuai untuk wanita dalam masyarakat konservatif Afgha­nistan.

Salah satu permainan yang dibangunkan oleh wanita ber­kenaan telah menarik perhatian pemaju dan pemainnya kerana menggambarkan tentang masalah penanaman pokok candu dan cabaran yang dihadapi oleh pasukan keselamatan Afghanistan untuk menyelesaikannya.

Permainan 2D Fight Against Opium adalah memaparkan animasi tenmtang misi dilakukan oleh tentera Afghanistan untuk memusnahkan ladang pokok candu , memerangi ketua pengedar dadah dan dan membantu para petani beralih kepada tanaman saffron.

Afghanistan merupakan pembekal candu terbesar di dunia yang digunakan untuk menghasilkan dadah jenis he­roin selain turut terkenalkan dengan tanaman saffron, sejenis rempah paling mahal di dunia.

Menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sebalik terdapat pengharaman­nya, pengeluaran candu mencatat rekod tertinggi tahun lepas, meningkat sebanyak 87 peratus berbanding tahun 2016.

Khatira Mohammadi, seorang pelajar yang membantu membangunkan permainan anti-candu itu berkata, dia mahu me­nunjukkan kepada masyarakat umum tentang kompleksnya masalah dadah tersebut dengan cara yang paling mudah.

“Kami cuba berusaha menggambarkan masalah utama negara kami melalui permainan ini,” kata Khatira.

Seorang lagi pelajar, Hasib Rasa berkata, pelatih wanita di pusat tersebut digalakkan untuk mereka bentuk watak, matlamat, dan halangan yang mencerminkan budaya di Afghanistan.

Kursus khas itu menyasarkan wanita berumur 15-25 tahun yang tidak dapat mengikuti pengajian peringkat ijazah ke­rana ketiadaan wang dana atau berdepan halangan kaum keluar­ga mereka sendiri yang mela­rang mereka ke sekolah-sekolah untuk mendapatkan pendidikan. – REUTERS