Menurut Channel News Asia memetik Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in sebagai berkata, Pyongyang juga akan mengambil langkah tambahan seperti menutup kompleks nuklear utama Yongbyon sekiranya Amerika Syarikat (AS) mengambil tindakan yang sama.

“Korea Utara dan Selatan bersetuju bahawa Semenanjung Korea harus bebas daripada senjata dan juga ancaman nuklear,” kata Jae-in susulan pertemuannya dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un ketika sidang kemuncak ketiga antara kedua-dua pihak semalam.

Bercakap pada sidang media bersama, Jong-un berkata, beliau akan melawat Seoul tidak lama lagi.

Pada sidang kemuncak itu, kedua-dua pemimpin menandatangani perjanjian bersama berkaitan hubungan antara Pyongyang serta Seoul.

Selain itu, ketua pertahanan antara kedua-dua negara mengadakan perbincangan berhubung kerjasama ketenteraan.

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump mengalu-alukan perkembangan positif antara Korea Utara dan Selatan dan menyifatkannya sebagai ‘amat menarik’.

“Jong-un bersetuju untuk membenarkan pemeriksaan nuklear, bergantung pada run­dingan terakhir dan merobohkan tapak ujian serta pelancaran nuklear dengan kehadiran pakar antarabangsa.

“Pada masa yang sama, tiada ujian roket atau nuklear,” ujar Trump menerusi Twitter. – AGENSI/REUTERS