PRESIDEN TURKI, Recep Tayyip Erdogan menegaskan semangat fasisme masih menebal dalam kalangan komuniti di Eropah. - REUTERS

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menegaskan semangat fasisme masih menebal dalam kalangan komuniti di Eropah.

“Semangat fasisme sedang berleluasa di Eropah. Eropah sedang terperangkap dalam ketakutan yang dicipta oleh mereka sendiri.

“Turkophobia sedang berleluasa. Islamophobia juga sedang merebak, mereka jadi takut terhadap pendatang yang berlindung di Eropah,” kata Erdogan dalam ucapannya disiarkan oleh stesen penyiar Turki.

Hubungan antara Turki dan EU menjadi tegang sejak kebelakangan ini berikutan tindakan Jerman dan Belanda melarang menteri-menteri Turki mengadakan perhimpunan bagi meraih sokongan komuniti Turki terhadap referendum kuasa eksekutif Presiden pada bulan hadapan.

Erdogan berulang kali mendakwa Jerman dan Belanda bersikap seperti Nazi sehingga mengundang komen balas daripada ketua EU, Donald Tusk bahawa Turki tidak sesuai menyertai EU.

Di bawah perjanjian bersama EU pada Mac 2016, Turki bersetuju untuk mengetatkan sempadan maritim dan membasmi rangkaian penyeludupan manusia yang membantu pendatang asing menyeberangi laluan dari Aegean ke Greece.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Mevlut Cavusoglu membidas EU kerana enggan membenarkan rakyat Turki melancong tanpa menggunakan visa di Eropah, sebagai salah satu insentif sekiranya Turki mematuhi perjanjian berkenaan.

“Kami tidak lagi menjalankan bahagian penting dalam perjanjian tersebut iaitu mengambil pendatang yang mendarat di kepulauan Greece sebagai tahanan kerana EU tidak meluluskan perjalanan tanpa visa Turki,” katanya. - AFP