BBC melaporkan, Trump menerusi Twitter menulis Iran akan menanggung akibat yang paling teruk dalam sejarah seperti mana dialami beberapa negara sebelum ini jika ia mengancam AS manakala Hassan pula sebelum itu menyifat perang negara itu sekiranya berlaku akan menjadi ‘ibu segala perang’.

Pada Mei lalu, AS keluar da­ripada perjanjian nuklear yang diwujudkan untuk mengawal program nuklear Iran dan menghalang negara tersebut daripada dikenakan sekatan antarabangsa.

Bagaimanapun, Washington kini dalam perancangan untuk mengenakan semula sekatan terhadap Iran biarpun mendapat tentangan dari United Kingdom (UK), Perancis, China, Rusia dan Jerman yang turut menandatangani perjanjian ter­sebut pada 2015.

Komen yang dibuat Hassan yang ditujukan kepada semua diplomat Iran itu secara tidak langsung turut juga membuka kemungkinan hubungan masa depan yang baik antara Teheran dengan Washington.

“AS harus sedar bahawa Iran boleh jadi ibu segala keamanan dan bertukar kepada ibu segala peperangan,” kata Hassan seperti yang dipetik agensi berita IRNA.

Dalam pada itu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo menyamakan kerajaan Iran dengan kumpulan mafia.

Beliau menyifatkan Hassan dan Menteri Luar Iran, Javad Zarif yang terlibat dalam membincangkan perjanjian nuklear sebagai penipu antarabangsa.

Sehubungan itu, Pompeo memberitahu bahawa beli­au akan cuba menghentikan mana-mana negara daripada mengimport minyak dari Iran menjelang November ini sebagai tekanan berterusan terhadap negara tersebut.

Sementara itu, pada Mei lalu, Pompeo mengusulkan 12 syarat untuk mengadakan perjanjian baharu antara AS dengan Iran termasuk mengundurkan pasukan tentera negara ini dari Syria dan Teheran perlu mengentikan sokongannya terhadap kumpulan pemberontak di Yemen.