Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai White House kepada CNN berhubung kebuntuan mencari jalan penyelesaian ter­hadap penutupan operasi kerajaan atau shutdown dalam pertemuan antara pegawai kanan pentadbiran AS dan ahli Kong­res Demokrat.

DONALD TRUMP
DONALD TRUMP 

Menurut beliau, walaupun darurat bukannya pilihan pentadbiran, penggunaan ‘kuasa darurat’ bagi membiayai pembinaan tembok sempadan ‘memberikan jalan keluar’ di tengah-tengah perbalahan dan percanggahan ke atas fakta asas yang berkaitan de­ngan keselamatan sempadan.

“Kita akan kekal begini (shutdown) untuk tempoh yang panjang,” jelas pegawai tersebut yang telah menghadiri dua pertemuan antara pegawai Kongres di White House.

Krisis shutdown memasuki minggu ketiga dengan Trump menuntut AS$5 bilion (RM20.7 bilion) sebagai dana membina tembok sempadan AS-Mexico.

Seperti dipetik banyak portal berita, Trump mengakui kemungkinan menggunakan kuasa darurat untuk membiayai tembok sempadan semasa ucapan di Rose Garden kelmarin.

“Kita boleh mengisytiharkan darurat kerana ini melibatkan keselamatan negara. Saya tidak pernah melakukannya, saya boleh melakukannya. Kita boleh isytihar darurat dan membina­nya dengan cepat,” katanya.

Terdahulu, pertemuan antara pegawai kanan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan ahli Kongres Demokrat masih gagal memecah kebuntuan berhubung cadangan pembinaan tembok sempadan bagi menamatkan krisis shutdown.

Al-Jazeera melaporkan, Naib Presiden AS, Mike Pence yang mengetuai pertemuan tersebut memberitahu dalam Twitter miliknya bahawa mesyuarat yang diadakan itu ‘produktif’ dan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan pertemuan semula hari ini.