WASHINGTON 24 Okt. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencemuh reaksi Arab Saudi terhadap pembunuhan Jamal Khashoggi sebagai ‘cubaan menutup pembunuhan yang paling buruk’ dalam sejarah.
Pentadbiran Washington juga bertindak membatalkan kira-kira 21 visa milik individu terlibat dalam jenayah itu sebagai tindak balas pertama Amerika terhadap kematian wartawan berkenaan.
Trump berkata demikian beberapa jam selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyatakan pembunuhan di Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki dirancang dengan rapi.
Pemimpin Arab Saudi menafikan pembabitan mereka dan mengalihkan tanggungjawab perbuatan itu kepada pihak lain yang didakwa melakukan operasi ganas melangkaui bidang kuasa mereka.
Presiden Turki menggesa Riyadh mengadakan siasatan terperinci dan menyeluruh untuk mencari dalang sebenar kematian Khashoggi pada 2 Oktober lalu, insiden yang mencetuskan kemarahan global dan mengeruhkan hubungan antara Riyadh dan Washington.
Trump berkata, cubaan menyembunyikan (pembunuhan) dilakukan dengan teruk dan paling gagal dalam sejarah.
Sambil menyifatkan cubaan itu sebagai satu bencana, beliau menambah, kerajaan Arab Saudi tidak seharusnya berbuat demikian dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
Trump berkata, beliau telah bercakap dengan Putera Mohammed Salman, kelmarin yang menafikan terbabit dalam pembunuhan Jamal.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo berkata, suspek pembunuhan meliputi mereka daripada perkhidmatan perisikan, majlis diraja, kementerian luar dan kementerian-kementerian lain dan langkah sewajar akan diambil termasuk membatalkan visa mereka.
Sumber memaklumkan hampir keseluruhan senarai suspek itu mempunyai visa AS.
Kerajaan Turki mengesyaki Jamal, penduduk tetap AS dan pengkritik tegar Putera Mahkota dibunuh dan mayatnya dikerat. Bahkan, bahagian muka yang didakwa dicacatkan ditemukan di kawasan taman di rumah Konsul Jeneral Arab Saudi di Istanbul
Erdogan ketika berucap di Parlimen tentang kes itu dikatakan hampir menyebut mengenai Putera Mohammed Salman yang disyaki mengarahkan pembunuhan Jamal tetapi memutuskan untuk tidak berbuat demikian.
“Pentadbiran Arab Saudi mengambil langkah penting dengan mengakui pembunuhan itu dan kami menjangkakan mereka mendedahkan siapa sebenarnya bertanggungjawab dari awal hingga akhir dan mengenakan hukuman yang sewajarnya.
“Daripada individu yang terbabit memberikan arahan hingga suspek yang melakukan pembunuhan, semuanya perlu bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, di sebalik tekanan, Mohammed Salman yang menghadiri persidangan Inisiatif Pelaburan Akan Datang (FII) di sini dilihat tersenyum dan sempat mengambil gambar swafoto bersama perwakilan dalam penampilannya selama 15 minit semasa pembukaan forum itu di Riyadh, Arab Saudi. – REUTERS