Para pegawai AS yang enggan dikenali, bagaimanapun memaklumkan tiada sebarang bukti menunjukkan Korea Utara berbuat sedemikian.

“Mereka (Korea Utara) telah menghentikan penghantaran peluru berpandu termasuk peluru berpandu balistik. Mereka telah memusnahkan tapak ujian. Mereka telah meletupakan salah sebuah tapak besar, malah sebenarnya empat tapak ujian terbesar.’’

“Namun, perkara utama ia­lah pelucutan senjata nuklear sepenuhnya sudah bermula,’’ kata Trump semasa mesyuarat Kabinet di White House semalam.

Tidak dapat dipastikan tapak ujian yang dimaksudkan Trump dan para pegawai AS yang sedia maklum tentang risikan tapak-tapak ujian peluru berpandu dan nuklear Korea Utara berkata, mereka tidak mempunyai bukti tentang pemusnahan tapak itu sejak pertemuan Trump dengan pe­mimpin negara berkenaan, Kim Jong-un pada 12 Jun lalu.

Pegawai terbabit mengandaikan Trump merujuk perkara tersebut terhadap letupan yang berlaku pada bulan lalu selepas Korea Utara membe­ritahu mahu meletupkan terowong tapak ujian nuklear Punggye-ri dan menanggalkan struktur pengujian peluru berpandu balistik jarak sederhana di Ilha-ri pada bulan lalu.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert berkata, Se­tiausaha Negara AS, Mike Pompeo dijangka mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Korea Utara dan berbincang tentang tarikh pa­ling awal bagi melaksanakan persetujuan yang dicapai di Singapura.

Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis ketika ditanya semalam tentang kemungkinan Korea Utara telah melaksanakan pelucutan senjata nuklear turut memaklumkan tidak mengetahui perkara tersebut.

“Tidak, saya tidak mengetahui perkara ini. Ini merupakan proses paling penting. Perincian rundingan masih belum bermula. Saya tidak menjangkakan perkara ini (pelucutan) akan berlaku pada peringkat ini,’’ katanya.

Pentagon dan White House tidak memberi sebarang maklum balas tentang kenyataan terbaharu Trump. – REUTERS