Senator dari Parti Demokratik, Tim Kaine menerusi Twitternya menulis bahawa keputusan Trump itu dilihat sebagai satu lagi sikap mengalah terhadap kuasa asing.

Trump dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh White House menegaskan bahawa AS akan te­rus menjadi rakan kongsi Arab Saudi biarpun Putera Mohammed mungkin terlibat dalam kes pembunuhan Jamal.

“Kita mungkin tidak tahu se­mua fakta mengenai pembu­nuhan Jamal. Dalam apa jua ke­­adaan pun, hubungan antara Washington dan Riyadh akan terus kukuh.

“Mungkin juga Putera Mohammed sebenarnya menge­ta­hui tentang rancangan pembunuhan Jamal atau mungkin tidak,” katanya seperti yang dipetik Al-Jazeera.

Selain itu, Trump menyata­kan beliau tidak mempunyai niat untuk membatalkan perjan­jian ketenteraan dengan Arab Sau­di sambil menjelaskan sekiranya Washington berbuat demikian, China dan Rusia akan mendapat faedahnya.

Trump mengeluarkan kenya­taan itu ketika ahli-ahli politik di negara ini terus memberikan tekanan terhadap beliau dengan mendesak pentadbirannya me­la­kukan siasatan teliti bagi mencari pihak yang bertanggungjawab membunuh Jamal.

Tekanan itu timbul selepas media AS melaporkan bahawa Agensi Perisikan Pusat (CIA) menyimpulkan Putera Mohammed adalah dalang yang mengarahkan supaya Jamal dibunuh dalam Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober lalu.

Sementara itu, beberapa se­nator berikrar mengenakan sekatan tegas terhadap Arab Saudi termasuk ‘kerabat diraja’ negara itu.

Senator Rand Paul dari Parti Republikan menyatakan AS tidak sepatutnya membekalkan senjata kepada Riyadh yang digunakan untuk mengebom penduduk awam.

Senator Demokratik, Lindsey Graham pula memaklumkan bahawa pasti ada kerjasama yang kuat untuk menyokong pengenaan sekatan tegas terhadap Riyadh kerana melakukan tindakan di luar norma.

“Biarpun Arab Saudi merupakan sekutu kuat AS, tetapi sikap Putera Mohammed telah menunjukkan rasa tidak hormat terhadap hubungan baik kedua-dua negara ini dan sekali gus menjadikan beliau lebih teruk,” ujarnya.