Trump meminta May menumpukan usaha mempertahankan United Kingdom (UK) daripada mengkritik beliau selepas Perdana Menteri Britain itu melalui jurucakapnya menyifatkan tindakan Trump ‘salah’ kerana mempromosikan ‘cerita kebencian’ kumpulan British First.

“@theresa _may, jangan fokus kepada saya, fokus kepada keganasan Islam radikal yang kini ber­ada dalam UK. Kami (AS) baik-baik sahaja!,’’ tulis Trump melalui akaun Twitter miliknya.

Tindakan pemimpin AS itu mengundang kecaman keras di dalam dan luar negara kerana memuat naik semula tiga video mengapi-apikan anti-Islam yang sebelum ini dimuat naik oleh kumpulan berhaluan kanan Bri­tain yang telah didakwa atas tuduhan jenayah kebencian.

Campur tangan Trump dalam politik Britain sejak kebelaka­ngan ini telah mencetuskan ketegangan dalam hubungan ke­dua-dua negara yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai ‘istimewa’.

Beliau telah me­nimbulkan kemarahan pihak berkuasa Britain melalui Twitter berhubung isu keganasan di negara berkenaan terma­suk Datuk Bandar London, Sadiq Khan.

Semalam Sadiq menyifatkan kumpulan British First itu sebagai ‘pertubuhan yang dipenuhi kebencian, keji dan pandangannya perlu dikutuk, bukan disokong.’

Terdahulu sebelum Trump me­ngeluarkan kenyataan, White House cuba mempertahankan diri dengan menyatakan bahawa walaupun video anti-Islam itu mengelirukan tetapi Pre­siden berkenaan mengutarakan masalah sebenar.

“Ancaman tersebut benar dan itu yang diperkatakan oleh Presiden,’’ kata jurucakap White House, Sarah Sanders.

Salah satu rakaman video itu yang memaparkan seorang lelaki Islam memukul kanak-kanak lelaki yang bertongkat telah dilaporkan tidak benar.

Sementara itu, Kedutaan Belanda di sini juga mengambil langkah luar biasa dengan secara terbuka mengkritik Trump melalui Twitter.

“Penjenayah yang melakukan kekerasan dalam video itu dilahirkan dan dibesarkan di Belanda. Dia telah menjalani hukuman di bawah undang-undang Belanda,” jelas kedutaan berkenaan. – AFP