The Royal Gazette hari ini mengumumkan nama Senator yang dilantik oleh Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) yang diketuai oleh Prayuth.

Mereka memainkan peranan utama kerana akan menyertai Dewan Perwakilan yang mempunyai 500 anggota untuk memilih Perdana Menteri yang akan datang.

Antara mereka adalah bekas anggota Dewan Perundangan Nasional (NLA) dan juga adik lelaki Prayuth iaitu Preecha Chan-o-Cha.

Sebanyak 15 anggota Kabinet yang berkhidmat di bawah pentadbiran Prayuth dan meletak jawatan minggu lepas juga termasuk dalam senarai.

Lima panglima tertinggi dari angkatan tentera dan polis serta setiausaha tetap Kementerian Pertahanan juga dilantik.

Bekas Ketua Polis Narkotik, Sommai Kongvisaisuk juga dilantik dan bekas Ketua Anti Rasuah, Klanarong Chanthik dan aktivis Nawarat Pongpaiboon berada dalam senarai.

Media tempatan melaporkan bahawa 250 Senator yang dipilih oleh kerajaan junta akan mengekalkan Prayuth sebagai Perdana Menteri.

Pro junta Palang Pracharat (PPRP) yang menyokong Prayuth sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri dijangka mendapat sekurang-kurangnya 376 undi jika semua 250 Senator memberi sokongan kepadanya.

Pada pilihan raya umum 24 Mac lalu, PPRP memenangi 115 kerusi dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 500 anggota.

Semalam, 11 parti kecil Thailand yang masing-masing memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya mengumumkan mereka bekerjasama dengan PPRP untuk membentuk kerajaan. Ini bermakna, PPRP mendapat 376 undi untuk mengekalkan Prayuth sebagai Perdana Menteri. – BERNAMA