Menurut portal Jakarta Post, Bayan Zehlif, 17, mengakui terluka dengan kejadian itu apabila pihak pengurusan Sekolah Tinggi Los Osos ‘tertukar’ namanya dengan nama Isis Phillips di dalam buku tersebut, menyebabkan rakan-rakannya mengecam dan menganggapnya mempunyai kaitan dengan kumpulan militan IS.

“Saya sedih setiap kali melihat kembali buku itu. Namun, saya le­bih terluka apabila teringat semula bagaimana rakan-rakan mengutuk saya,” katanya kepada pemberita di pejabat Majlis Hubungan Amerika-Islam di Anaheim, California, semalam.

Bayan memaklumkan, dia sama sekali tidak mengenali Isis, namun mengetahui pelajar itu turut belajar di sekolah berkenaan.

Ketua Gabungan Sekolah Tinggi Daerah Chaffey, Mat Holton dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu dan menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut.

Tambah Holton, identiti kedua-dua gadis tersebut tertukar antara satu sama lain.

“Kedua-dua keluarga saling berhubung dan meminta maaf atas kejadian itu dan pihak sekolah juga mengeluarkan kenyataan maaf kepada Bayan kerana kesilapan mereka,” kata Holton.

Pengedaran buku itu telah ditangguhkan bagi membuat pembe­tulan berkenaan kesilapan tersebut dan pelajar yang telah menerima buku yang salah perlu memulangkan kembali buku terbabit.

Bayan dilaporkan tidak hadir ke sekolah buat sementara berikutan kecaman daripada rakan-rakan sekelasnya, namun dia berharap dapat menghadiri majlis graduasi sekolahnya minggu depan.