Menurut kenyataan ketente­raan Israel, tembakan itu dilakukan ketika penduduk Palestin dikatakan cuba melepaskan belon berisi bahan bakar ke arah wilayah dikuasai rejim Zionis semalam.

Pihak berkuasa Palestin pula melaporkan tentera Israel me­lancarkan serangan menggunakan dron ke arah penduduknya di timur kem pelarian al-Bureij di tengah Semenanjung Gaza.

Jurucakap bomba Israel, Eli Cohen memaklumkan seba­nyak 20 kebakaran tercetus di selatan wilayah tersebut akibat pelepasan belon berkenaan.

Jelas beliau, sejak tunjuk pe­rasaan bermula Mac lalu, lebih 300 kebakaran direkodkan berlaku yang memusnahkan banyak kawasan ladang serta hutan di wilayah Israel.

Dalam perkembangan lain, Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyifatkan usaha Amerika Syarikat (AS) untuk menyelesaikan konflik antara Israel dengan Palestin sebagai menuju kegagalan.

Jurucakap PA, Nabil Abu Rudeina berkata, kunjungan penasihat White House, Jared Kushner dan wakil khas Presiden AS, Donald Trump bagi Asia Barat iaitu Jason Greenblatt ke Israel pada minggu depan tidak akan mendatangkan sebarang hasil positif.

“Sikap angkuh AS yang tidak menghormati resolusi Sidang Kemuncak Liga Arab serta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), usaha damai membabitkan Palestin dengan Israel akan menemui ke­gagalan,” jelasnya.

Menurut laporan media Israel, Kushner dan Greenblatt akan melawat Israel, Mesir dan Arab Saudi.

PA sebelum ini memutuskan hubungan dengan Washing­ton susulan pengumuman AS yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke wilayah tersebut. – AFP