Daily Mail melaporkan, kajian terbaharu oleh Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Negara (NASA) mendapati, telaga boleh dibina pada lapisan ais besar di planet merah itu bagi menyediakan bekalan air kepada manusia.

Menurut kajian yang dike­tuai Stephen Hoffman dari Perbadanan Aeroangkasa, Marikh pernah mempunyai air yang ba­nyak pada permukaannya namun terdapat tanggapan bahawa ia telah kering.

“Baru-baru ini, beberapa kajian mendapati terdapat potensi besar sumber air di kebanyakan lokasi di Marikh termasuk wilayah yang dipertimbangkan bagi misi angkasa pada masa hadapan.

“Sekiranya takungan air itu boleh diakses bagi menyokong misi manusia ke Marikh, maka terdapat perubahan dramatik dalam pendekatan misi ber­kenaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, pasukan penyelidik sedang melihat jenis takungan dipanggil telaga Rodriguez atau Rod yang diba­ngunkan awal 1960-an oleh tentera Amerika Syarikat (AS) di Greenland.

Hoffman berkata, penilai­an teknik-teknik yang boleh digunakan untuk mengakses dan mengeluarkan air daripada lapisan ais itu sedang dijalankan bagi menghasilkan cara bersesuai­an dengan keadaan sekitar Ma­rikh.

“Ini dilakukan dengan penggalian melalui lapisan permukaan selain mewujudkan taku­ngan air bawah tanah dengan memanaskan ais,” katanya.

Menurutnya, telaga Rod beroperasi dengan mengorek tanah ke dalam lapisan ais seterusnya mencairkannya bagi mewujudkan kolam sebelum airnya dipam keluar.

“Langkah mengepam suhu panas ke dalam kolam itu menerusi teknik telaga Rod dapat menghasilkan sebanyak 380 liter air sehari,” katanya. – AGENSI