SAYYED HASSAN NASRALLAH
SAYYED HASSAN NASRALLAH 

Amaran itu disuarakan oleh pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah susulan langkah biadab pentadbiran Donald Trump mengumumkan pengiktirafan Bukit Golan di bawah kedaulatan rejim Zionis dalam lawatan rasmi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke White House kelmarin.

Press TV melaporkan, ekoran keberanian Washington membuat tindakan tersebut, malah sebelumnya mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, Sayyed Hassan menegaskan Tebing Barat bakal menerima nasib sama.

“Tindakan dunia, khususnya negara-negara Arab yang berdiam diri apabila Presiden AS itu mengiktiraf (Baitulmuqaddis) sebagai ibu negara Israel, hanya akan membuka laluan kepada AS melakukan lebih banyak pencabulan.

“Komuniti antarabangsa tidak dapat melindungi apa jua hak rakyat, termasuk hak milik tanah dan kedaulatan, mengambil alih tanah yang dijajah seperti apa yang berlaku di Golan atau sebelumnya (Baitulmuqaddis),” tegas beliau.

Sekitar penghujung 2017, Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis yang berada di dalam wilayah Palestin dan kemudiannya dijajah Israel ketika perang 1967, sebagai ibu negara Israel.

Kemudian beliau sekali lagi mencetuskan kontroversi terbesar sepanjang menjadi Pre­siden AS apabila pada Isnin lalu mengiktiraf kedaulatan rejim Zionis ke atas Golan, Syria.

“Kita boleh menjangkakan bahawa satu masa nanti Trump akan mengiktiraf kedaulatan Zionis di Tebing Barat,” tambah Sayyed Hassan.

Katanya, tindakan itu adalah sebahagian daripada perjanjian dua sekutu itu, merujuk kepada beberapa cadangan yang disifatkan mencabuli hak-hak rakyat Palestin.

“Mereka boleh mengarahkan penduduk Paletin untuk tinggal dan menetap di Gaza,” jelasnya yang menganggap tindakan tersebut sebagai satu strategi AS mengusir penduduk Palestin dari Tebing Barat.

GOLAN ADALAH SYRIA

Al-Jazeera melaporkan, pengiktirafan tersebut menyebabkan ribuan penduduk di beberapa bandar di Syria me­lakukan tunjuk perasaan menentang tindakan Trump itu.

Penunjuk perasaan dilihat berarak sekitar bandar Sweida sambil membawa bendera Syria dan sepanduk yang terpapar slogan ‘Golan adalah Syria’.

Protes turut berlaku di selatan Deraa, kira-kira 20 kilo­meter dari kawasan tanah tinggi Golan serta utara Aleppo.

DUNIA TOLAK PENGIKTIRAFAN

Dalam pada itu, wakil kepada lima negara Kesatuan Eropah (EU) iaitu Perancis, Jerman, Bri­tain, Poland dan Belgium mengeluarkan kenyataan bersama menolak pengiktirafan tersebut.

“Pengambilan wilayah secara paksa adalah dilarang di bawah undang-undang antarabangsa dan perubahan persempadanan adalah bertentangan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami menyuarakan kekhua­tiran atas kesan dan akibat terhadap tindakan mengiktiraf pengambilan wilayah secara haram,” jelas kenyataan tersebut.

Kesemua negara-negara itu adalah sekutu rapat AS.

Keputusan Trump turut ditentang Lebanon, Turki, Arab Saudi dan Iraq.