Menurut BBC, taufan berkenaan membawa angin kencang pada kelajuan 210 kilometer sejam dan dijangka melanda Florida pada tengah malam ini.

Berdasarkan skala Saffir-Simpson, kategori 4 merangkumi kekuatan angin berkelajuan sehingga 251 kilometer sejam yang boleh membawa kerosakan kepada rumah dan pokok.

Lebih 370,000 orang telah diarahkan berpindah dan berada di tempat lebih tinggi.

Sekurang-kurangnya 13 orang dilaporkan maut di Amerika Tengah pada hujung minggu lalu akibat hujan lebat dan banjir selepas dibadai taufan berkenaan.

Florida telah mengisytiharkan darurat selain Alabama dan Georgia menjelang kedatangan taufan Michael.

Gabenor Florida, Rick Scott menyifatkan Michael sebagai taufan ganas dan menggesa para penduduk tempatan mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) berkata, taufan Michael akan menyebabkan berlakunya pusaran ribut yang boleh mengancam nyawa, angin ribut kuat dan hujan lebat di sepanjang timur laut pantai Teluk.

NHC meramalkan kekuatan taufan itu akan meningkat lagi sebelum ia melanda Florida Panhandle atau kawasan Big Bend.

“Kekuatan taufan itu akan menurun selepas melanda Florida apabila ia bergerak melintasi tenggara Amerika Syarikat (AS),” kata NHC.