Taufan yang dikategorikan berada pada tahap empat dan me­rupakan taufan paling kuat dalam tempoh dekad ini kini menuju ke arah timur negara ini.

Ketika penduduk di kawasan tepi pantai akur dengan arahan berpindah mandatori, penduduk lain pula memilih untuk kekal menetap di kediaman masing-masing dan menjalankan urusan perniagaan seperti biasa.

Taufan berkenaan dijangka menyebabkan banjir kilat dengan hujan yang mencapai paras satu meter di beberapa kawasan selain beberapa tempat turut dijangka menerima hujan sehingga empat meter.

Gabenor North Carolina, Roy Cooper memberi amaran kepada penduduk yang enggan berpindah bahawa mereka membuat kesilapan besar dan mengarahkan penduduk di zon perpindahan agar ‘berpindah serta merta’.

“Bahaya ribut ini bukan boleh dielakkan,’’ tegas beliau.

Menurut pegawai pengurusan kecemasan, setakat ini seramai 1.7 juta penduduk di kedua-dua wilayah dan Virginia telah diarah berpindah mandatori, ketika ribut berkenaan melalui Lautan Atlantik menuju ke arah pantai.

Beberapa lebuh raya utama menuju ke timur telah ditutup bagi memastikan kelancaran trafik.

Pengurus Pemulihan dan Tindak Balas Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), Jeff Byard berkata, keadaan trafik di laluan perpindahan kini sesak.

Pakar kajicuaca menjangkakan taufan Florence akan membadai wilayah itu esok atau seawal Jumaat ini dan kini masih dika­tegorikan sebagai puting beliung kategori 3.

Namun Pusat Puting Beliung Kebangsaan memaklumkan, pa­da pukul 11 malam ini (3 petang waktu Malaysia) Florence yang dikategorikan puting beliung tahap empat membawa angin kencang dengan kelajuan 220 kilo­meter sejam.

Ia dikesan berada di 1,075 kilometer tenggara Cape Fear, North Carolina dan bergerak pada kelajuan 28 kilometer sejam ke arah barat laut.

Presiden Donald Trump menggesa orang ramai mematuhi arahan berpindah dengan mengatakan, ‘jika diarah untuk berpindah, keluar cepat’.

“Ini merupakan ribut lebih besar daripada yang pernah kita saksikan dalam tempoh beberapa dekad ini,’’ katanya.

Sementara itu Pengurus FEMA, Brock Long berkata, Florence dijangka menjadi ‘ribut yang sangat kuat’.

“Bekalan elektrik akan terputus untuk beberapa minggu. Penduduk di kawasan pantai terpaksa berpindah dan beberapa kawasan darat akan dinaiki air,’’ katanya. – AFP