Perkhidmatan Bomba Luar Bandar (RFS) New South Wales berkata, pihaknya bimbang mengenai bara api yang berterbangan boleh mencetuskan kebakaran baharu di kawasan yang lain.

BBC melaporkan, sesete­ngah penduduk diarahkan untuk mencari perlindungan kerana proses untuk melakukan pemindahan adalah terlalu bahaya buat masa sekarang.

Kebelakangan ini, cuaca di tenggara Australia luar biasa panasnya dan angin kencang telah menyebabkan api di utara dan timur bergerak ke arah kawasan pinggir bandar tersebut.

Menurut Shane Fitzsimmons dari FRS berkata, api tersebut kini sangat marak dan telah memusnahkan hampir 2,500 ekar tanah.

Lebih daripada 70 buah lori bomba ditempatkan di sepanjang jalan yang memisahkan hutan dengan rumah kediaman manakala helikopter cuba memadam api dengan mencurahkan air dari udara.

Perdana Menteri Malcolm Turnbull memuji tindakan pantas pihak bomba berkenaan.

“Cuaca terlalu panas menjadi kebimbangan besar kepada kita, tetapi kita perlu bersedia dengan apa sahaja jenis bencana alam dan seburuk mana apa yang berlaku, ia akan semarakkan semangat rakyat Austra­lia,” katanya.

Polis New South Wales telah mengisytiharkan kawasan kebakaran sebagai lokasi jenayah tetapi RFS menyatakan masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada kebakaran itu berlaku dengan sengaja.