Spotify mendakwa Apple menyekat persaingan di pasaran muzik atas talian.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, Apple telah memperkenalkan peraturan terhadap App Store yang dilihat sengaja mengehadkan pilihan dan menghalang inovasi dengan mengorbankan pengalaman pengguna - pada dasarnya merugikan pembangun aplikasi lain,” kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Spotify, Daniel Ek dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Ek berkata pihaknya gagal untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan Apple dan kini menggesa Suruhanjaya EU agar mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan persaingan yang adil.

Spotify yang dilancarkan lebih sedekad lalu, mempunyai 207 juta pengguna di seluruh dunia dan 96 juta daripadanya ada pelanggan berbayar.

Menurut Ek, platform Apple adalah ‘pintu masuk ke Internet’ bagi lebih satu bilion orang dan pesaing kepada perkhidmatan seperti Spotify.

Apple mengarahkan Spotify dan perkhidmatan digital lain untuk membayar 30 peratus cukai bagi setiap pembelian yang dibuat menerusi sistem Apple.

“Sekiranya kami memilih untuk tidak menggunakan sistem pembayaran Apple, mereka akan melaksanakan beberapa siri teknikal dan sekatan pengalaman pengguna ke atas Spotify,” jelas Ek. - AFP