Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan berkata,tahap keselamatan yang ketat di Narathiwat, Pattani dan Yala di selatan Thailand mungkin menjadi punca yang memaksa mereka yang terlibat meletupkan bom berkenaan di Satun dan Phattalung.

"Kami telah menghantar pasukan keselamatan dan mengambil pelbagai langkah bagi mengekalkan keamanan di kawasan berkenaan (Narathiwat, Pattani dan Yala). Itu sebabnya mereka melancarkan serangan di luar kawasan ini, saya rasa ia bukan bermotifkan politik," katanya kepada pemberita di sini.

Prawit yang juga Menteri Pertahanan Thailand melawat wilayah Satun dan Phatthalung bersama dengan beberapa petugas kanan pasukan keselamatan Thailand.

Beliau berkata, beberapa suspek ditahan, dan mereka didapati dari kumpulan sama yang mempunyai kaitan dengan keganasan di tiga wilayah di selatan, di Narathiwat, Pattani dan Yala.

Sementara itu media tempatan melaporkan bahawa suspek serangan itu telah dikenal pasti menerusi rakaman CCTV, dan semua mereka adalah aktivis pemberontak yang dikehendaki polis di selatan negara.

Sekurang-kurangnya 10 letupan menggegarkan beberapa tempat di wilayah Phatthalung dan Satun di selatan Thailand pada Sabtu dan Ahad lepas, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan insiden itu hanya mengakibatkan kerosakan kepada beberapa bangunan dan kenderaan sahaja. - BERNAMA