BBC melaporkan, pada bulan Oktober lalu, pihak berkuasa republik ini dan penduduk tempatan melepaskan kira-kira 3,000 ekor nyamuk ke kawasan kejiranan Braddell Heights.

Kesemua nyamuk itu sudah dijangkiti bakteria dikenali sebagai Wolbachia yang berfungsi untuk menghalang kesuburan serangga berkenaan, sekali gus mengelak keupayaannya untuk menyebar wabak seperti Zika dan denggi.

Singapura bukan satu-satunya negara yang menggunakan kaedah itu untuk mengawal penula­ran wabak, beberapa buah negara lain di Asia dan Amerika Latin turut mengaplikasikan cara yang serupa.

Kaedah membebaskan nya­muk-nyamuk yang berbakteria juga secara tidak langsung dijadikan sebagai faktor untuk mendi­dik orang ramai mengenai inovasi dan teknologi yang digunakan menguji keberkesanan terhadap pendekatan tersebut.

Selain menggunakan nyamuk yang berbakteria itu, para saintis juga menggunakan kaedah sinaran radioaktif atau mengubah genetik serangga berkenaan untuk menjadikannya berupaya menghalang penularan wabak.

Pendekatan baharu yang lebih dikenali sebagai vektor biologi ini sudah dimulakan sejak beberapa tahun lalu ketika epidemik demam denggi memuncak dan wabak tersebut disifatkan sebagai wabak tropikal paling cepat me­rebak di dunia.

Sebelum ini, pada pertengahan abad ke-20, para saintis me­lakukan program sanitasi secara besar-besaran dan penggunaan semburan anti serangga iaitu Dichlorodiphenyltrichloroethane (DDT) dalam usaha untuk me­ngawal penularan wabak penyakit yang disebarkan oleh nyamuk.

Bagaimanapun, DDT diharamkan pada tahun 2004 ekoran kesannya terhadap tahap kesihatan manusia dan alam sekitar, selain penggunaannya dikaitkan de­ngan penyakit kanser dalam kalangan manusia serta menjejaskan po­pulasi burung pemangsa.­