Berdasarkan laporan setebal 121 muka surat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Fortify Rights berjudul Sold Like Fish menunjukkan bagaimana etnik minoriti itu didera, dibiarkan kebuluran, dirogol dan dibunuh oleh kumpulan terbabit di laut.

Lapor Telegraph, selain itu, ada juga pelarian etnik Ro­hingya yang dijadikan hamba abdi dengan ditahan di beberapa kem serta diperas ugut bagi mendapatkan duit.

DIJUAL SEPERTI IKAN

Laporan itu menyebut bahawa kegiatan jenayah terkutuk itu dilakukan antara 2012 dan 2015 apabila kira-kira 170,000 pelarian Rohingya cuba melarikan diri dari operasi keganasan tentera Myanmar di Rakhine.

Pelarian itu cuba keluar dari Myanmar dengan menaiki bot yang disediakan oleh sindiket pemerdagangan tamak hingga memperoleh keuntungan sebanyak AS$50 juta (RM204 juta) hingga AS$100 juta (RM408 juta) setahun daripada kegiatan haram itu.

Laporan itu berdasarkan temu bual ke atas 270 pelarian Rohingya yang terselamat dan beberapa pegawai terbabit turut mendokumentasikan tentang penemuan sejumlah kubur besar dan kem tahanan di sepanjang kawasan sempadan Thailand-Malaysia.

GELOMBANG KEDUA ORANG HANYUT?

Permasalah itu juga me­nimbulkan kebimbangan apabila dikhuatiri ‘laluan baharu pemerdagangan manusia’ akan diwujudkan selepas ini susulan peningkatan jumlah pelarian Rohingya mencecah sehingga 730,000 orang sejak 2017.

Selain itu, masalah itu turut boleh disumbang oleh kepadatan jumlah pelarian di beberapa kem di Bangladesh.

Pasukan Pengawal Sempadan Bangladesh dilaporkan menyelamatkan kira-kira 100 etnik Rohingya daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia tahun ini apabila kebanyakan sindiket itu menjanjikan ‘kehidupan yang lebih terjamin dan selesa’ buat etnik tersebut.

Organisasi Migrasi Antrabangsa (IOM) yang terletak di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenal pasti sekurang-kurangnya terdapat 217 mangsa pemerdagangan manusia sejak krisis itu berlaku dengan keba­nyakan pela­rian sanggup membahayakan nyawa mereka dengan merentasi lautan untuk melarikan diri dari Myanmar.

Wakil IOM, Fiona McGregor berkata, data yang diperoleh tidak menunjukkan jumlah ke­seluruhan pelarian yang pernah menjadi mangsa sindiket terbabit kerana ramai di antara etnik Rohingya masih tidak tahu ke­giatan jenayah yang boleh menambah kesulitan mereka.

PELARIAN DITIKAM DILAUT

Seorang daripada mangsa pemerdagangan, Abdul Yasin, 17, meninggalkan Myanmar pada Februari 2014 menggunakan kapal untuk ke Malaysia.

“Anggota sindiket akan menikam mana-mana pelarian yang mengadu lapar atau dahaga sepanjang perjalanan dan mayat mereka dibuang ke dalam laut. Saya menyaksikan seramai enam orang terbunuh ketika saya menaiki bot itu.

“Keadaan ketika itu sangat teruk malah ada yang terfikir untuk membunuh diri. Ada seorang lelaki terjun ke dalam laut namun tiada sesiapa yang menyelamatkannya,” katanya.

DICURAH AIR PANAS 
DI KEM TAHANAN

Kesengsaraan pelarian Rohingya tidak berakhir di situ apabila tiba di daratan, mereka ditahan dalam kem dan diperas ugut sebelum dibebaskan.

Seorang lagi mangsa, Rahim Ullah memberitahu badannya dicurah dengan air panas mendidih hanya kerana gagal memberikan wang bayaran kepada sindiket terbabit dan apa yang lebih menyedihkan, ramai dalam kalangan pelarian mening­gal dunia sebelum dibebaskan kerana kekurangan makanan serta sering didera.

Ketua Pegawai Esekutif Fortify Rights, Matthew Smith berkata, kegiatan jenayah itu sudah berlanjutan selama beberapa tahun dan dilakukan secara te­rancang menyasarkan pelarian Rohingya.

“Perkara sebenar tidak pernah didedahkan dan bukti-bukti baharu ini perlu dipandang serius untuk mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” ujarnya. – AGENSI