Beliau memberitahu para wartawan di White House selepas mengalu-alukan kenyataan terbaharu negara komunis itu sebagai ‘berita yang sangat baik.’

Korea Utara sebelum ini berkata, pihaknya sedia berbincang dengan AS ‘pada bila-bila masa’ meskipun Trump secara tiba-tiba membatalkan sidang berkenaan.

Presiden AS itu menyalahkan ‘perseteruan secara terbuka’ yang dilakukan rejim Korea Utara sebagai punca beliau menangguhkan perbincangan yang dirancang deng­an Kim Jong-un sambil mengingatkan Pyongyang agar tidak mengambil ‘tindakan yang melulu’.

Bagaimanapun, Pyongyang mem­­berikan reaksi tenang terhadap keputusan mengejut Trump itu.

Timbalan Menteri Luar Pertama, Kim Kye-gwan menyifatkan keputusan Trump sebagai sesuatu yang ‘tidak dijangka’ dan amat dikesali tetapi pihaknya masih mengamalkan dasar pintu terbuka dan menegaskan para pegawainya bersedia duduk semeja pada bila-bila masa.

Sebelum Trump mengumumkan pembatalan rundingan itu, Korea Utara mengisytiharkan bahawa negara itu telah merobohkan tapak ujian nuklear di timur laut negara itu sebagai isyarat positif menjelang sidang kemuncak tersebut.

Bagaimanpun, peluang menyaksikan kejayaan sidang kemun­cak yang belum pernah diadakan itu terus menjadi tanda tanya apabila kedua-dua pihak mula berbalas-balas ancaman dan kecaman.

Pengumuman pembatalan itu dilakukan Trump sehari selepas Pyongyang menyifatkan kenya­taan Naib Presiden AS, Mike Pence tentang masa depan Korea Utara mungkin berakhir seperti di Libya sebagai sesuatu yang ‘jahil dan bodoh’.

“Sayangnya, berdasarkan kemarahan keterlaluan dan perseteruan terbuka yang dipaparkan dalam kenyataan terbaharu anda, saya rasa tidak sesuai, pada masa ini, untuk mengadakan mesyua­rat tersebut,” jelas surat Trump kepada Jong-un.

Tetapi, beliau menegaskan perbincangan tersebut masih boleh diteruskan pada masa akan datang.

Sementara itu, ribuan rakyat Korea Selatan meluahkan kemarahan dan mengecam tindakan Trump membatalkan sidang kemuncak bersejarah itu dan merasakan mereka telah ditipu.

Puluhan pelajar universiti dan aktivis hak wanita me­n­yer­tai beberapa perhimpunan di Seoul sambil mengecam Trump, dengan mengoyakkan dan me­numbuk sepanduk yang ditampal dengan gambar wajah Trump.

“Korea Utara dalam proses melakukan segala yang dituntut dan mereka telah pun merobohkan tapak ujian nuklear mereka.

“Trump tidak mempunyai kepentingan dalam keamanan di negara kami, Kenapa dia tidak boleh biarkan kami, kedua-dua negara Korea ini hidup dengan aman?,” kata seorang penunjuk perasaan, Eugene Lim, 29.

Singapura turut melahirkan rasa kesal atas pembatalan sidang kemuncak yang dijadual diadakan pada 12 Jun ini di negara itu.– AFP/REUTERS/BERNAMA