Al-Jazeera melaporkan, perkara itu disifatkan sebagai satu ‘pengkhianatan’ buat semua penduduk Palestin.

AS dijangka menganjurkan satu persidangan ekonomi di Manama, Bahrain pada 25 dan 26 Jun ini sebagai langkah untuk meningkatkan sektor pelaburan di Palestin.

Persidangan itu bakal menghimpunkan semua pemimpin perniagaan dan kerajaan bagi membincangkan bagaimana usaha boleh dilakukan untuk meningkatkan ekonomi di Tebing Barat dan Gaza.

Penasihat Kanan White House, Jared Kushner kini berada di Asia Barat bagi mencari ‘sokongan’ untuk menganjurkan bengkel berkenaan, selain beliau juga dijangka mendedahkan butiran fasa pertama rundingan damai Palestin dan Israel dalam persidangan terbabit.

Sejumlah negara Arab termasuk Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menghadiri persidangan tersebut, namun pemimpin perniagaan serta komuniti Palestin di AS melahirkan kebimbangan bahawa perhimpunan itu adalah satu percubaan bagi ‘melindungi Arab’ untuk mengekalkan penjajahan Israel di Palestin.

Menerusi satu kenyataan bersama, organisasi komuniti Palestin AS menyifatkan persidangan tersebut sebagai ‘menikam belakang penduduk Palestin’ dan ‘pencabulan terhadap semua resolusi yang dibuat oleh Arab dan sidang kemuncak Islam yang melarang Arab menjalin hubungan dengan Israel’ sebelum Palestin diiktiraf sebagai negara merdeka.

Selain itu, organisasi komuniti tersebut juga memberi amaran bahawa persidangan itu boleh menjadikan ‘negara-negara Arab sebagai platform untuk AS melancarkan pelbagai agenda Trump yang diragui’.

Hartawan Palestin yang merupakan rakyat AS, Farouq Shami turut mengkritik bengkel Bahrain yang dilihat tidak mendatangkan kebaikan kepada Palestin, selain mendesak supaya sebarang penyelesaian bagi konflik Israel dan Palestin perlu menamatkan penjajahan Zionis.