Detik News yang memetik Duta Besar Indonesia ke Arab Saudi, Agus Maftuh Abegebriel sebagai berkata, kerja-kerja pembersihan tersebut belum selesai sepenuhnya namun jumlah cengkerik sudah tidak banyak berbanding minggu lalu.

“Berdasarkan maklumat dari­pada isteri saya, (Luluk Muniroh Maftuh), keadaan Mekah masih belum sepenuhnya bersih daripada cengkerik dan belalang.

“Masih banyak cengkerik ditemukan namun tidak seba­nyak minggu lalu dan petugas kebersihan masih membersihkan bangkai serangga itu,” kata Agus Maftuh, hari ini.

Bangkai serangga itu banyak dilihat berselerakan di lantai Masjidilharam dan berdasarkan maklumat yang diterima kedutaan, cengkerik itu tidak berbahaya.

“Sehingga hari ini, masih belum ada kenyataan rasmi ker­a­jaan Arab Saudi. Menurut bebe­rapa pekerja pembersihan, cengkerik itu tidak berbahaya,” kata seorang jurucakap konsulat Indonesia di Jeddah, Ahmad Syofian.

Menerusi gambar dan video yang tular dalam media sosial, ribuan cengkerik hitam muncul di Masjidilharam terutamanya pada bahagian din­ding, lantai hingga ke pakaian jemaah.

Difahamkan cengkerik itu juga masuk ke dalam rumah-rumah dan sekolah di Mekah.Sementara itu, seorang saksi kejadian, Abdulwhab Soror, 64, memberitahu, serangga terbabit terdapat di merata tempat termasuk di sekitar Kaabah, Sabtu lalu.

“Saya telah tinggal di Mekah sepanjang saya hidup namun tidak pernah menyaksikan kejadian sebegini,” ujarnya kepada portal The National. – AGENSI