Menerusi satu kenyataan, wa­kil kumpulan itu, Calvin Shim yang merupakan suami kepada seorang daripada kru MH370 berkata, mereka akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pengangkutan esok bagi menyerahkan penemu­an berke­naan.

Katanya, kelima-lima serpihan baharu itu ditemukan di kawasan perairan Madagascar pada Ogos lalu.

Sebelum ini, beberapa serpihan badan pesawat malang itu pernah ditemukan di kawasan tersebut, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia daripada badan pesawat MH370 atau sebaliknya.

Dalam kejadian pada 8 Mac 2014, pesawat MH370 yang membawa seramai 239 orang penumpang semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, sebelum dilaporkan hilang.

Kehilangan pesawat tersebut menjadikan insiden berkenaan sebagai satu daripada misteri penerbangan terbesar dunia yang masih belum terungkai sehingga kini.

Pihak berkuasa Malaysia dan pasukan penyiasat antarabangsa percaya bahawa pesawat tersebut melencong ribuan kilometer daripada laluan asalnya sebelum terhempas ke dalam Lautan Hindi.

Namun, sehingga kini tiada pihak yang mengetahui kejadian sebenar menimpa pesawat tersebut.

Secara keseluruhannya, seba­nyak 27 serpihan badan pesawat sudah ditemukan di pelbagai lo­kasi di seluruh dunia namun hanya tiga bahagian sayap dikenal pasti sebagai serpihan MH370.

Pada Mei lalu, kerajaan Malaysia menghentikan operasi pen­carian yang dilakukan oleh syarikat Amerika Syarikat (AS) iaitu Ocean Infinity melibatkan kawasan pencarian seluas 112,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Operasi pencarian tersebut gagal menemukan sebarang petunjuk kepada kehilangan pesawat terbabit.

Sebelum itu, Malaysia dengan kerjasama Australia dan China membelanjakan kos sehingga AS$200 juta (RM837 juta) untuk melakukan pencarian di kawasan berkeluasan 120,000 kilometer persegi pada tahun lalu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga sebelum ini pernah menyatakan bahawa kerajaan Malaysia dalam pertimbangan untuk memulakan semula operasi pencarian sekiranya terdapat petunjuk baharu mengenai pesawat tersebut.

Pada Julai lalu, pasukan penyiasat menerbitkan satu laporan setebal 495 muka surat yang menyatakan bahawa kawalan pesawat berkenaan berkemungkinan dimanipulasi oleh pihak tertentu namun tidak dapat memastikan pihak yang bertanggungjawab. – REUTERS