Penemuan sejumlah senjata di lokasi kira-kira 64.3 kilo­meter di barat laut Austin itu me­nunjukkan terdapat dua kumpulan pendatang berasingan ke Amerika Utara, salah satunya le­bih awal daripada kumpulan sebelum ini yang diketahui umum sebagai manusia purba Clovis.

Mata lembing diperbuat daripada batu silika dan peralatan lain ditemukan beberapa meter dalam mendapan, berusia 15,500 tahun malah lebih lama daripada manusia Clovis yang sejak berkurun-kurun dipercayai merupakan manusia pertama tiba di Amerika.

Ketua Penyelidik dan Pengarah Pusat Kajian Manusia Pertama Amerika Universiti Texas A dan M, Profesor Michael Waters mengesahkan senjata itu digunakan untuk memburu di kawasan berkenaan pada zaman tersebut.

“Penemuan itu meluaskan lagi pemahaman tentang manusia paling awal menjelajah dan menetap di Amerika Utara,” katanya yang dilaporkan portal Daily Mail.

Penyelidik juga beranggapan ke­mungkinan bentuk batu run­cing yang ditemukan itu adalah berbeza daripada bentuk senjata manusia terawal yang merupakan pendatang berasi­ngan ke Amerika.

Mereka mendapati batu run­cing itu adalah lebih awal daripada teknologi yang dibawa manusia Clovis pada 13,000 tahun lalu.

Manusia Clovis mencipta ‘ba­tu runcing Clovis’ senjata se­perti lembing diperbuat daripada batu yang ditemukan di Texas dan beberapa bahagian Amerika Syarikat serta utara Mexico.

Senjata itu digunakan untuk memburu binatang termasuk mamot dan mastodon bermula dari 13,000 sehingga 12,700 tahun lalu.