Menurut laporan yang dikeluarkan oleh syarikat perundingan Singapura, Asia Research & Engagement Pte. Ltd., pertambahan populasi, pendapatan dan proses urbanisasi akan meningkakan permintaan terhadap daging dan makanan laut sehingga 78 peratus dari tahun lalu hingga 2050.

Ketua pengarang bersama laporan tersebut, Serena Tan berkata, keadaan itu secara tidak langsung mencetuskan ‘ketegangan’ dalam alam sekitar.

“Dengan mengenal pasti punca dan masalah yang timbul, kita boleh mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Pelepasan gas rumah hijau atau gas karbon dioksida boleh meningkat dari 2.9 bilion tan kepada 5.4 bilion tan setiap tahun iaitu bersamaan dengan pelepasan gas oleh 95 juta kereta,” katanya.

Jelas laporan itu, sebuah kawasan tanah seluas negara India diperlukan untuk penghasilan makanan tambahan manakala penggunaan air turut meningkat dari 577 bilion meter padu kepada 1.054 trilion meter padu setiap tahun.

Selain itu, penggunaan anti-mikrobial yang berfungsi membunuh atau menghentikan pembiakan mikroorganisma termasuk antibiotik juga dijangka meningkat sebanyak 44 peratus iaitu sehingga 39,000 tan setiap tahun.

Penggunaan berlebihan dan penyalahgunaan antibiotik dalam makanan semakin meningkat di Asia Tenggara, sekali gus berisiko kepada manusia dan haiwan memandangkan banyak bakteria dan jangkitan boleh menjadi ‘kebal’ terhadap rawatan.

Dalam perkembangan sama, perluasan kawasan perbandaran turut menyumbang kepada pe­ningkatan permintaan terhadap makanan berasaskan daging dan laut memandangkan masyarakat di kawasan terbabit mempunyai akses elektrik yang baik.

Laporan itu juga menyebut, Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar dan Pakistan merupakan antara negara yang menyumbang kepada pe­ningkatan berkenaan.

Sementara itu, pengeluar makanan boleh mengatasi masalah yang bakal timbul dengan cara kitar semula air hujan dan menggunakan makanan haiwan yang mapan.

Kumpulan pe­ngendali, pengguna dan pelabur boleh mendesak semua pengusaha restoran supaya mengehadkan penggunaan antibiotik dalam pembekalan daging, manakala masyarakat boleh memilih menu makanan berasaskan sayur-sa­yuran. – REUTERS