Bulan lalu, komuniti media sosial dikejutkan oleh laporan yang dikeluarkan oleh akhbar terkenal The New York Times tentang isu keselamatan yang berpunca dari Google Plus. Walaupun Google cuba untuk tidak bersuara tentang isu ini dengan menutup segala cubaan untuk tidak dihebahkan namun ia tetap boleh dihidu oleh pemberita.

Projek Strobe, di sini isu ke­selamatan Google Plus ini bermula. Ia sebenarnya adalah sebuah platform untuk membuat kajian berkaitan dengan keselamatan yang dibina oleh Google khusus kepada para pemaju perisian. Tanpa disangka, terdapat satu kelemahan yang dijumpai di platform ini di mana mereka boleh mengakses lebih 500,000 data pemilik-pemilik akaun di Google Plus yang melibatkan nama, gambar dan juga senarai e-mel. Menurut Google, walaupun perkara ini benar dan diakui tetapi tiada bukti yang mengatakan bahawa data-data ini digunakan oleh para pemaju perisian ini.

Serius

Insiden serius ini bermula pada Mac lalu, tujuh bulan lepas tetapi Google mendiamkan diri tentangnya. Mereka cuba untuk menutupnya dengan membuat beberapa penambahbaikan di Google Plus namun ia gagal dibendung. Mereka sebenarnya takut reputasi Google itu sendiri yang akan hancur sekiranya ia diketahui umum.

Google juga mengeluarkan kenyataan lagi yang mereka dibenarkan untuk tidak memberitahu sesiapa tentang insiden keselamatan yang berlaku ini berdasarkan polisi syarikat yang wujud. Memandangkan kejadian ini agak serius dan juga penggunaan Google Plus yang tidak begitu memberangsangkan membuatkan Google akhir­nya membuat pengumuman untuk menutup perkhidmatan Google Plus buat selama-lama­nya pada 2019 nanti.

“Google Plus adalah lambang kesungguhan dan dedikasi pa­sukan kejuruteraan kami dalam membina satu platform media sosial yang baik selama bertahun-tahun. Namun sayangnya Google Plus tidak begitu mendapat tempat di hati para pengguna di seluruh dunia. Jumlah penggunaannya amatlah sedikit - 90 peratus pengguna yang ada menggunakannya tidak sampai pun lima saat.” Ini adalah di antara kenyataan yang dikeluarkan oleh Google baru-baru ini tentang Google Plus.

Projek Strobe

Penutupan Google Plus ini akan mengambil masa selama 10 bulan, dikatakan akan berakhir pada Ogos 2019 nanti. Pengumuman tentang ini akan disediakan dari semasa ke semasa terutama untuk persediaan para pemilik akaun membuat perpindahan dan penyimpanan data-data yang ada di platform ini. Google juga memberitahu bagaimana ia bakal menjejaskan sedikit perkhidmatan-perkhidmatan Google yang lain.

Di dalam kenyataannya juga Google menulis, “Berkaitan dengan Projek Strobe, kami akan mengemaskinikan polisi data pengguna-pengguna yang ada terutama berkaitan dengan akses yang diberikan kepada Google Plus untuk platform e-mel kami iaitu Gmail. Kami akan memastikan ia mempu­nyai akses yang amat terhad kepada data-data yang berada di Gmail.”

Kita tidak pasti bagaimana fungsi-fungsi seperti Google My Business, Gmail dan beberapa platform lain akan terjejas dengan pengumuman ini. Kita tunggu dan lihat sahaja nanti kenyataan-kenyataan yang akan dikeluarkan oleh Google dari semasa ke semasa nanti.

Rata-rata pengguna di seluruh dunia menjadi semakin risau apabila pelbagai berita tentang kebocoran data yang berlaku ke atas platform-platform media sosial yang ada. Tahun ini juga menyaksikan Facebook menghadapi insiden yang sama, kebocoran yang jauh lebih besar dengan skandal Cambridge Analytica mereka dengan kebocoran lebih 50 juta data-data pengguna melibatkan nama, gambar, video dan sebagainya yang boleh diakses oleh penggodam.

Data-data yang mungkin boleh diakses termasuklah na­ma, gambar, video, lokasi dan ke­mungkinan juga maklumat-maklumat melibatkan kad kre­dit serta pembayaran yang dilakukan. Tetapi berita ini masih lagi belum dimuktamadkan oleh Facebook kerana penyia­satan masih lagi dijalankan.

Malaysia

Tetapi di Malaysia nampak­nya pengguna tidak begitu kisah dan tidak ambil peduli tentang isu-isu data mereka dicuri. Tidak terdapat sebarang reaksi yang serius wujud walaupun inside-insiden kebocoran ini kecoh di seluruh dunia.

Apa pun yang pasti, Google Plus bakal berakhir tidak lama lagi dan beberapa peraturan baharu untuk para pemaju perisian akan diperkenalkan oleh Google. Ini semata-mata untuk memastikan Google sentiasa lebih selamat kepada para pengguna mereka.