perjanjian yang dimeterai termasuklah ikrar Jong-un untuk melucutkan senjata nuklear di semenanjung Korea.

Dalam sidang media, Trump berkata, beliau akan menghentikan latihan tentera AS di Korea Selatan, sesuatu yang tidak di­nyatakan dalam perjanjian tetapi dilihat sebagai satu konsensi.

“Trump komited untuk menyediakan jaminan ke­selamatan kepada Korea Uta­ra dan Jong-un mengesahkan komitmen beliau yang bersungguh-sungguh untuk menyempurnakan pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini hari ini.

Trump menjangkakan proses pelucutan senjata nuklear akan bermula secepat mungkin dan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan pegawai Korea Utara akan mengadakan rundingan susulan pada tarikh yang seawal mungkin.

Sidang kemuncak itu diikuti jutaan penduduk dunia khas­nya rakyat Korea Selatan dengan ribuan mereka menonton acara bersejarah itu di ste­sen kereta api dan pelbagai skrin awam di pelbagai lokasi di seluruh negara terbabit.

Kenyataan berkenaan bagai­manapun tidak memperincikan proses pelucutan senjata nuklear. Malah, ia juga tidak menyebut tentang sekatan antarabangsa yang melumpuhkan ekonomi negara itu kerana me­lak­sanakan program senjata nuklearnya.

Pada masa sama, kenyataan itu juga tidak menyatakan tentang pemeteraian perjanjian damai sedangkanKorea Utara dan Korea Selatan selepas Perang Korea 1950-53 secara teknikalnya masih berperang. Perang yang meragut nyawa jutaan penduduk terbunuh dihentikan hanya dengan gencatan senjata.

Kedua-dua pihak, bagaimanapun bersetuju menyelesaikan isu berkaitan mayat tahanan perang dan juga mereka yang hilang ketika perang untuk dihantar pulang.

Sekiranya kenyataan bersama membawa kepada penyelesaian berpanjangan, ia secara asasnya dapat mengubah landskap ke­selamatan di Timur Laut Asia, sama seperti lawatan bekas Presiden A.S. Richard Nixon ke Beijing pada tahun 1972 yang membawa kepada transformasi China.

Sebelum menanda­tangani apa yang dise­but Trump sebagai satu dokumen komprehensif, Jong-un berkata, kedua-dua pemimpin itu menghadiri satu pertemuan bersejarah dan memutuskan untuk melupakan masa lalu serta dunia akan melihat perubahan besar.

Trump berkata, beliau telah ‘membentuk ikatan yang amat istimewa’ de­ngan Jong-un dan hubung­an de­ngan Korea Utara akan menjadi sangat berbeza.

Beliau menggelar Jong-un amat pintar dan seorang yang patut disanjung dan perunding yang hebat.

“Saya dimaklumkan beliau seorang lelaki yang sangat berbakat, saya juga tahu bahawa beliau amat sayangkan negaranya,” kata Trump.

Selepas sesi makan tengah hari di hotel tempat persidangan itu berlangsung, Trump menyifatkan pertemuan itu sebagai berlangsung lebih baik daripada yang dijangkakan banyak pihak.

Sementara itu, White House berkata, perbincangan dengan Korea Utara berlangsung dengan cepat berbanding dengan apa yang dijangkakan dan Trump akan meninggalkan Singapura malam ini dan bukannya esok seperti yang dijadualkan.

Menurut sumber yang me­nguruskan lawatan Jong-un, pe­mimpin itu akan bertolak pulang petang ini. – REUTERS