Lapor al-Jazeera, aktivis, ahli politik dan golongan minoriti Muslim menyifatkan ucapan sami berkenaan, Warakagoda Sri Gnanarathana Thero pada ming­gu lalu adalah cuba meniupkan kebencian terhadap Islam.

“Sesetengah penganut Buddha wanita berkata ‘manusia seperti doktor itu’ perlu direjam sampai mati. Saya tidak berkata sedemikian. Tetapi itu apa yang seharusnya dilakukan,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di stesen televisyen tempatan.

Gnanarathana Thero turut mendakwa restoran dimiliki golongan Muslim menyediakan makanan yang dimasukkan ubat-ubatan untuk memandulkan wanita dan menggesa rakyat Sri Lanka memboikotnya.

“Jangan makan di kedai-kedai Muslim. Sesiapa yang makan di kedai-kedai terbabit tidak akan mempunyai anak pada masa depan.

“Kenyataan saya ini adalah berdasarkan pendapat majoriti,” katanya kepada penganut Buddha di sebuah kuil di daerah Kandy.

Ucapan berkenaan dibuat beberapa minggu selepas komuniti Buddha menyerang kediaman dan premis perniagaan milik penduduk Islam.

Rusuhan tercetus sebagai tindak balas terhadap insiden pengeboman di gereja dan hotel ketika perayaan Easter yang mengorbankan lebih 250 orang, dipercayai didalangi oleh kumpulan pengganas Daesh.

Susulan ucapan Gnanarathana Thero itu, aktivis Muslim menggesa Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Seseorang yang mempu­nyai kaliber seperti itu membuat tuduhan palsu boleh menimbulkan masalah besar kerana sekurang-kurangnya generasi muda Buddha akan mengambilnya secara serius, beliau mencetuskan keganasan.

“Kami tidak boleh bayangkan apa akan berlaku kepada kami. Kami takut ucapan seperti itu akan membawa kepada banyak serangan terhadap Muslim dan harta benda mereka,” kata aktivis hak asasi manusia Muslim, Shreen Abdul Saroor.