Pertuduhan itu adalah yang paling serius dalam sejarah pentadbiran Netanyahu hampir satu dekad, namun dakwaan terbabit merupakan susulan daripada beberapa siri cerita membabitkan beliau dan keluarganya yang menarik perhatian ramai.

Antara kes terbabit adalah anjing milik keluarga Perdana Menteri itu menggigit seorang anggota Parlimen, dakwaan isteri Netanyahu memalsukan perbelanjaan mengemas dan membersih rumah selain rakaman yang menunjukkan anak sulung pe­mimpin itu mabuk di luar sebuah kelab tarian bogel.

Netanyahu yang berulang kali mengaku tidak bersalah mene­gaskan, perhatian yang diberikan terhadap keluarganya adalah tidak adil dan menyifatkan kebanyakan cerita yang disebarkan itu adalah usaha jelas untuk menjatuhkannya.

Seorang pakar pandangan awam di pusat pemikir Institut Demokrasi Israel, Tamar Hermann berkata, penyokong Ne­tanyahu mungkin akan bersetuju dengan pendapatnya namun tidak bagi yang lain.

“Ini seperti mempunyai seorang jiran dengan babak domestik di dalam rumah itu, membuatkan anda melihatnya dan berkata, ‘saya harap perkara itu tidak akan menjangkiti rumah saya’,” kata­nya.

Dalam mencadangkan Ne­tanyahu diheret ke mahkamah, polis mendakwa pemimpin itu dan keluarganya seisi rumah diberikan cerut, minuman keras dan barangan kemas bernilai kira-kira 1 juta shekels (RM1.1 juta) oleh penerbit filem Hollywood, Arnon Milchan dan bilionair Australia, James Packer.

Netanyahu didakwa cuba membantu Milchan sebagai balasan termasuk mempromosikan kepentingan perniagaannya di Israel.

Walaupun dokumen polis­ mencadangkan Netanyahu di­dakwa atas tuduhan rasuah, penipuan dan khianat, namun perkara itu tidak menyebut tentang iste­rinya, Sara atau anak lelakinya Yair yang turut tinggal di kediaman rasmi di tengah Baitulmuqaddis.

Bagaimanapun berpuluh-puluh laporan sejak polis pertama kali menyiasat Perdana Menteri itu pada Januari tahun lalu me­nyatakan bahawa Sara sedar akan pemberian beberapa hadiah de­ngan ada di antara pemberian itu diberikan atas permintaannya.

Akhbar Haaretz merujuk ba­rangan kemas yang diminta Sara adalah pemberian hadiah hari jadi daripada Milchan dan mendakwa Packer memberikan Yair tiket penerbangan percuma dan membayar bilik penginapannya.

Yair merupakan satu daripada tiga orang anak Netanyahu hasil tiga perkahwinannya.

Netanyahu turut mempunyai seorang anak perempuan, Noa hasil perkahwinannya dengan Miriam dan seorang anak lelaki bongsu, Avner hasil perkahwinannya dengan Sara.

Dalam perkembangan berkaitan, Sara turut berdepan perbicaraan berhubung dakwaan me­nyalah guna dana awam, namun dinafikan wanita itu. – AFP