Mail Online melaporkan, sut canggih itu lengkap dengan teknologi ‘exoskeletons’ yang direka bagi mempertingkatkan kekuatan dan stamina askar, perisai badan dan jam yang mampu melindungi askar daripada letupan nuklear sekali gus dapat memberi kelebihan kepada pasukan tentera dalam medan perang pada masa akan datang.

Kit pakaian berwarna gelap yang dikenali sebagai ‘Ratnik’ itu mempunyai topi keledar digital dengan gaya seperti Stormtrooper, lengkap dengan visor kaca berwarna dan skrin yang memaparkan maklumat sasaran.

Awal bulan ini, Ketua Turus Tentera Darat Rusia, Kolonel Jene­ral Oleg Salyukov berkata, pasukan itu sedang menyiapkan kajian saintifik dalam mewujudkan reka bentuk sut tentera masa depan, Ratnik-3.

“Pelaksanaan projek akan membolehkan pe­ningkatan prestasi seorang askar kepada 1.5 kali ganda dalam menyelesaikan pelbagai tugas,” katanya kepada akhbar Krasnaya Zvezda.

Salyukov berkata, berat keseluruhan sut itu akan dikurangkan kepada 30 peratus.

Menurut laporan, kit pakaian Ratnik mengandungi lima sistem utama termasuk sokongan hayat, arahan dan komunikasi, pengli­batan, perlindungan dan subsistem penjimatan tenaga.

Sut itu direka bentuk untuk digunakan sepanjang masa dalam semua keadaan cuaca.

“Ratnik terdiri daripada 59 peralatan termasuk pelbagai jaket kalis peluru dan topi keledar, pakaian tempur, fon kepala dan kaca mata.

“Selain itu, kit Ratnik dilengkapi pelancar bom tangan, raifal tempur dan penembak hendap, peluru, pisau perang dan penglihatan yang menggabungkan imej optik dan haba,” kata­nya.

Awal tahun ini, sut setinggi 1.8 meter itu yang dicipta oleh Central Scientific Institute for Precision Machine Engineering dipamerkan di Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan di Moscow.