Kenyataan tersebut disiarkan menerusi iklan dalam akhbar tem­patan selepas 11 tahun Hakim Mahkamah Persekutuan, Gladys Kessler membuat keputusan itu melalui kenyataan setebal 1,682 muka surat pada tahun 2006.

Melalui keputusan itu beliau menegaskan, syarikat berkenaan telah melanggar undang-undang melalui kegiatan haram iaitu memperdaya orang awam sejak berpuluh-puluh tahun tentang bahaya merokok terhadap kesihatan.

Kessler memerintahkan syarikat terbabit untuk menyiarkan kenyataan pembetulan tentang lima topik kesihatan namun terpaksa ditangguhkan bagi mencari penggunaan ayat yang tepat sementara menunggu pendakwaan terhadap syarikat tembakau.

Pada tahun 2014 kerajaan dan syarikat tersebut dilaporkan mencapai persetujuan iklan ber­kenaan akan disiarkan pada hari Ahad dalam akhbar utama dan pada waktu perdana di stesen televi­syen selama setahun serta beberapa medium lain termasuk pada kotak rokok.

Iklan yang berlatarkan warna putih dalam akhbar itu tertulis: ‘Mahkamah Persekutuan telah memerintahkan syarikat R.J. Rey­nolds Tobacco, Philip Morris USA, Altria dan Lorillard untuk membuat kenyataan tentang kesan merokok kepada kesihatan.’

‘Tabiat merokok membunuh pu­rata 1,200 rakyat AS setiap hari. Lebih ramai manusia mati setiap tahun akibat merokok berbanding dibunuh, AIDS, bunuh diri, dadah, kemalangan kereta dan alkohol.’

Iklan tersebut turut menyenaraikan pelbagai jenis penyakit dan masalah kesihatan.

Keputusan Kessler itu merupakan sebahagian daripada kes ke­giatan haram yang dibongkar kerajaan terhadap syarikat utama rokok yang pada asalnya dibawa ke mahkamah pada bulan September 1999.

Iklan lanjutan yang diarahkan oleh mahkamah berhubung mesej kesihatan akan disiarkan secara berterusan dalam akhbar di 50 buah bandar sepanjang April, lapor Majlis Kanser Amerika.

Pertubuhan tersebut bersama-sama Majlis Kanser turut menjadi pencelah dalam kes berkenaan dan selain membuat cadangan tentang kenyataan pembetulan tersebut.

Melalui laman sesawang miliknya, Majlis Kanser memaklumkan penerbitan iklan itu adalah ‘kejayaan penting bagi kesihatan awam’.

“Kes ini berjaya memaksa industri tembakau mengakui apa yang telah diketahui dan dilakukan sejak 50 tahun lalu,” kata Pengarah Pusat Majlis Kanser bagi Pengawalan Tembakau, Cliff Douglas.

Katanya, industri berkenaan dengan sengaja telah menyebabkan berjuta-juta manusia ketagih dengan produk yang diketahui akan membunuh separuh daripada mereka sebelum tiba masanya. – AFP