Lelaki berusia 78 tahun itu sebelum ini pernah dianuge­rahkan Hadiah Aurora atas sumbangan serta jasanya memelihara hak bagi kumpulan minoriti beragama Islam.

Beliau juga mendermakan wang bernilai AS$1 juta (RM4.1 juta) yang dimenangi bersama anugerah tersebut kepada beberapa organisasi yang menyediakan bantuan perubatan kepada pelarian Rohingya.

Portal berita al-Jazeera sempat menemu bual Hla Aung di Doha, Qatar ketika beliau dijemput untuk menghadiri satu persidangan kesihatan global.

AL-JAZEERA: Kenapa etnik Rohingya dinafikan hak warganegara mereka di Myanmar? Apakah kriteria yang diperlukan untuk memperoleh hak tersebut?

HLA AUNG: Berdasarkan undang-undang warganegara Myan­mar 1948, mana-mana individu yang tinggal di negara itu selama lapan hingga 10 tahun secara berterusan berhak mendapat taraf kewarganegaraan. Namun, Myanmar menafikan hak Rohingya sejak 1982.

Rohingya adalah kepunyaan Myanmar dan mereka pernah diiktiraf oleh beberapa kerajaan sebelum ini termasuk di bawah pentadbiran Perdana Menteri, U Nu, tetapi selepas berlakunya rampasan kuasa, Yangon tidak lagi mengiktiraf penduduk ber­agama Islam.

Selepas mengusir semua etnik Rohingya keluar dari Myanmar, mereka akan menghalau pula semua penduduk Islam dari negara itu.

Bolehkah anda menceritakan tentang situasi Rohingya di Myanmar?

Kerajaan Myanmar bersikap berat sebelah terhadap penduduk beragama Islam. Sebelum ini, penduduk Rohingya mewakili beberapa sektor dalam kerajaan termasuk polis, tentera, pentadbiran dan pendidikan.

Namun, kini semuanya sudah berubah, saya sendiri pernah dipenjara kerana menulis satu petisyen kepada Jeneral Ne Win bagi menentang rampasan tanah yang merupakan milik penduduk beragama Islam pada 1986.

Anda pernah tinggal di Rakhine selama lebih 70 tahun, bagaimanakah hubungan antara etnik Rohingya dengan penduduk beragama Buddha ketika anda kecil?

Sebelum 1960, kami hidup dalam suasana harmoni dan menjalin hubungan yang baik.

Tetapi kini, para hakim juga mendiskriminasi antara penduduk Islam dan Buddha.

Pada panda­ngan anda, kenapa terdapat begitu banyak sentimen anti-Islam di Myan­mar?

Myanmar me­nyatakan bahawa mereka takut kepada penduduk beragama Islam kerana mereka percaya agama suci itu semakin berkembang di negara tersebut.

Kempen anti-Rohingya mendapat sokongan kuat daripada parti politik berprofil tinggi. Penduduk Buddha membenci penduduk Islam dan hanya segelintir daripada mereka yang ingin hidup secara harmoni dengan komuniti Islam.

Anda rasa Myanmar akan terima Rohingya?

Mereka (Myanmar) tidak akan menerima.

Mereka menafikan kewujudan Rohingya dan menganggapnya sebagai pendatang asing­ tanpa izin.

Bagaimana de­ngan masa depan Rohingya? Harapan kepada komuniti antarabangsa?

Masa depan mereka bergantung kepada komuniti antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketika saya me­nerima Hadiah Aurora, kerajaan Armenia memberi jaminan mereka akan bantu. Saya minta mereka menyokong Rohingya di PBB.

Apakah Rohingya berdepan genosid (pembunuhan beramai-ramai)?

Memang (genosid) kerana Myanmar tidak menerima perkataan Rohingya.

Kerajaan tidak membenarkan siasatan terhadap kes-kes di tempat kejadian. Misi Mencari Fakta Antarabangsa me­ngenai Myanmar yang dibentuk PBB tidak dibenarkan memasuki negara itu.