Perkara itu merupakan salah satu isu besar yang hangat dibincangkan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos minggu lalu.

Ikon global China yang juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma mengakui perkara itu dan menyuarakan kebimbangannya mengenai perkembangan yang dilihat semakin bergerak ke arah yang lebih negatif.

Kebangkitan AI bukan hanya untuk berinteraksi atau memudahkan tugas seharian sebalik­nya telah memanipulasi kehidupan manusia dan menjadikan kita semakin lemah.

Benar kata Jack Ma, teknologi harus sentiasa memberikan peluang baharu kepada manusia dan bukan pula merampasnya.

Apa yang penting adalah kebijaksanaan manusia itu sendiri menggunakan teknologi dan keprihatinan golongan berkuasa untuk tidak terlalu rakus mengejar keuntungan tanpa memikirkan akibat buruk yang bakal berlaku.

Di Davos, kebimbangan me­ngenai gergasi internet yang merompak sejumlah besar data peribadi secara haram atau untuk tujuan berkongsi dengan pihak berkuasa turut dibahaskan.

Rata-rata bersetuju bahawa sikap masyarakat yang terlalu mudah menyerah dan mendedahkan segalanya di rangkaian sosial dan enjin carian menjadi pe­nyumbang utama kepada masalah tersebut.

Namun Davos menjadi saksi persetujuan unik daripada gergasi dunia digital yang sebelum ini sering menolak pengawasan yang terlalu banyak oleh pihak kerajaan atas alasan cuba menghalang inovasi.

Pengasas Salesforce, sebuah syarikat perkhidmatan awam utama, Marc Benioff yang sebelum ini lantang menyuarakan pendapatnya turut akur bahawa perlu wujud lebih banyak peraturan dalam sektor itu.

Ramai pengkritik dan pemerhati menyifatkan perubahan pendirian itu sebagai sesuatu yang amat positif terhadap masa depan keselamatan data peribadi setiap individu.

Pihak berkuasa pengawal seliaan di Eropah telah mengeluh selama bertahun-tahun ba­hawa syarikat-syarikat digital be­sar tidak bertindak balas ketika mereka dipanggil dalam sebarang siasatan mengenai penyelewe­ngan atau kebocoran data peribadi pengguna.

Namun Zvika Krieger yang mengetuai projek digital untuk penganjuran forum ekonomi tersebut yakin perkembangan itu mungkin menyaksikan syarikat-syarikat berkenaan menjawab panggilan mereka dan bekerjasama dalam usaha memastikan dunia digital terus memperkasa keupayaan manusia dan bukan sebaliknya.