Mail Online melaporkan, firma keselamatan siber berpusat di Sea­ttle, Amerika Syarikat (AS), IOActive Inc. mendapati, beberapa robot pengguna dan industri mudah digodam dan diubah suai menjadi peranti yang menjejaskan kehidupan dan senjata.

Malah, ada antara robot itu boleh membunuh manusia jika diubah suai oleh individu yang mempunyai niat jahat.

Kajian ini dibuat meliputi robot daripada firma teknolo­gi Robotics Softbank, Robotics UBTECH, Universal Robotics, Asratec Corp, ROBOTIS dan Rethink Robotics.

Menurut IOActive Inc. secara keseluruhannya, kelemahan yang ada robot popular mengundang lebih banyak bahaya termasuk kemungkinan ia digodam dan digunakan sebagai peranti pendengaran mahupun senjata.

Sebagai contoh, peranti industri Universal Robot direka untuk bekerja bersama-sama manusia tetapi IOActive dapat mematikan ciri-ciri keselamatan utama robot daripada jauh untuk memungkinkan seseorang me­nggodam mesin berkenaan sehingga dapat mencederakan manusia yang berada berhampiran.

Kata firma itu, keadaan ini amat membimbangkan kerana jumlah penggunaan robot industri yang terlalu banyak ketika ini selain kekuatan robot itu pada skala yang kecil pun sudah mampu memecahkan tengkorak manusia.

Malah kata IOActive Inc, beberapa siri robot kegunaan rumah ciptaan UBTech’s Alpha boleh digodam dan melancarkan serangan fizikal ke atas manusia.

“Pada masa akan datang, robot boleh ditemui di mana-mana tetapi kami dapati teknologi robot ini tidak selamat dalam pelbagai cara dan kelemahan itu boleh mendatangkan ancaman serius kepada manusia, haiwan dan pertubuhan,” katanya.