Album yang memuatkan lagu-lagu bergenre tekno hingga Europop ini disifatkan oleh pengkritik budaya agensi berita BBC, Alex Marshall bakal mengubah cara pandangan kita berkaitan soal krea­tiviti dan teknologi kecerdasan buatan atau dikenali sebagai AI.

Album berkenaan turut mendapat kerjasama seorang penulis lagu yang telah menghasilkan pelbagai lirik dan muzik untuk para penyanyi terkemuka Perancis seperti Johnny Halliday dan Francoise Hardy iaitu Benoit Carre.

Pemuzik berusia 47 tahun itu melancarkan album terbaharunya, berkolaborasi dengan Flow Machines, AI paling canggih yang boleh menghasilkan muzik pada bulan ini. Flow Machines dihasilkan oleh Sony’s Computer Science Laboratories di Paris, Perancis.

Jika diimbas kembali, AI memang sudah lama ‘menceburkan diri’ dalam dunia muzik. Mungkin dalam waktu terdekat, lagu yang kita dengar di corong radio bakal dihasilkan menerusi pelbagai aplikasi dan teknologi komputer.

Setakat ini, syarikat permulaan (startup) seperti Jukedeck, Amper Music dan Melodrive telah membangunkan AI yang membolehkan penggunanya memilih irama yang disukai seperti synth pop, muzik elektronik dan sebagainya, dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Malah syarikat teknologi gergasi terkemuka turut tidak ke­tinggalan membangunkan AI. Sebagai contoh, Google Inc. melancarkan Projek Magenta untuk membangunkan beberapa apli­kasi muzik AI yang boleh menggabungkan dua bunyian.

Namun begitu, ada yang berpendapat muzik ciptaan AI tidak akan membuatkan para pemuzik berasa terlalu bimbang. Ini kerana muzik yang dihasilkan dilihat membosankan serta tidak memberi inspirasi kepada pendengar. Malahan, lagu-lagu terbabit sukar mencabar muzik garapan pemuzik terkenal seperti Bob Dylan.

Walau bagaimanapun, album terbaharu Carre itu dilihat berbeza kerana muzik yang dihasilkan sangat unik. Dengan menggunakan AI yang dikenali sebagai SKYGGE (bererti ba­yangan dalam bahasa Denmark), lagu-lagu berunsur balada, pop, tekno dan Europop berjaya dihasilkan. Malah, sekiranya anda mendengarkan lagu tersebut di radio, pasti tidak akan menduga bahawa ia bukan dihasilkan oleh manusia.

Menurut Carre, Flow Machines mampu menulis melodi asal sesuatu lagu. Ia juga boleh mencadangkan kord dan bunyi untuk dimainkan dengan melodi berkenaan.

Tetapi Carre berkata, kemahiran manusia tetap diperlukan untuk menggabungkan lagu ter­babit, dengan memberinya struktur serta emosi. Tambah Carre, tanpa kemahiran manusia, lagu tersebut akan menjadi seperti ‘sampah’.

“Terdapat ramai orang yang terlibat dalam album ini. Mereka memberikan sepenuh jiwa dan semangat. Saya berpendapat itu adalah perkara paling penting dalam album,” ujar Carre.

Menurut pengarah bersama muzik komputer di Universiti Stony Brook, New York, Margaret Schedel, keperluan untuk mencipta muzik menggunakan AI bukanlah suatu yang baharu. Manusia telah menggunakan komputer untuk mencipta muzik klasik sejak 1950-an.

Komputer telah lama berkemampuan menghasilkan muzik lebih baik daripada manusia. Pada 1980-an, seorang ahli akademik Perancis, Xavier Rodet menggunakan komputer untuk menyanyikan sebahagian lagu The Magic Flute oleh Mozart. Hasilnya dilihat lebih bagus daripada kebanyakan penyanyi ope­ra baharu.

Jadi bagaimana robot mencipta muzik? Pengguna Flow Machines perlu memasukkan berpuluh-puluh muzik ke dalam sistem. Selepas itu, Flow Machines akan menganalisis muzik tersebut satu persatu, melihat coraknya dan kemudian menghasilkan tindak balas dalam bentuk muzik pendek.

“Kira-kira 99 peratus muzik pendek yang dihasilkan oleh robot, adalah lebih baik berban­ding ditulis oleh para pelajar,” seloroh Schedel. Bagaimanapun, apabila beralih kepada muzik lebih kompleks, seperti lagu pop, robot berdepan masalah.

“Muzik adalah kompleks, terlalu banyak dimensi, jadi sekiranya satu bahagian yang salah, orang akan tahu. Ia adalah lebih mudah untuk menipu mata kasar daripada deria pendengaran,” jelas Schedel lagi.

Dalam pada itu, Michael Lovett daripada kumpulan elektronik NZCA Lines, yang turut menerbitkan album Hello World, melahirkan kebimbangan sekiranya suatu hari nanti AI akan mengambil alih dunia muzik. Jelasnya, syarikat rakaman berkemungkinan ditutup kerana lagu baharu boleh dihasilkan dengan hanya menggunakan telefon pin­tar sahaja.

Schedel turut sependapat de­ngan Lovett. Katanya, manusia mungkin beralih kepada teknologi AI yang jauh lebih murah daripada mengeluarkan kos lebih tinggi bagi mengupah pemuzik untuk menghasilkan lagu.

“Namun, jika robot tersebut menghasilkan lagu yang sedap didengar berbanding muzik pemuzik jalanan, tiada salahnya. Manusia perlu lebih bersema­ngat dan tidak terlalu bimbang kerana muzik ciptaan robot ini akan mendorong kita menghasilkan sesuatu yang lebih berkualiti lagi,” ujar Schedel.

Walau bagaimanapun, masa depan Flow Machines masih belum diketahui. Yang pasti, tulang belakang utama Flow Machines ialah Francois Pachet yang me­rupakan Pengarah Makmal Penyelidikan Teknologi Reka Cipta di syarikat penstriman muzik popular, Spotify.

Jika suatu hari nanti pilihan lagu dalam aplikasi Spotify anda kedengaran pelik, berkemungkinan ia dihasilkan oleh robot.