Tech Bureau yang berpangkalan di Osaka dan menguruskan pertukaran wang maya Zaif memberitahu, sistem pelayannya diakses secara haram dan wang dipindahkan.

“Kami enggan mengulas secara terperinci bagaimana akses haram ini berlaku kerana perkara itu satu jenayah dan kami meminta pihak berkuasa menyiasat,” kata agensi berkenaan dalam satu kenyataan di sini.

Menurut firma itu, mata wang kripto yang dicuri adalah bitcoin, wang tunai bitcoin dan monacoin.

“Kami akan menyediakan langkah supaya aset pelanggan tidak akan terjejas dengan serangan penggodam.

“Kami akan menerima sokongan kewangan daripada pemegang saham utama, Fisco Group,” katanya.

Tech Bureau menjelaskan, pasukan pengurusan semasa akan meletak jawatan selepas memulangkan aset yang hilang kepada pelanggan.

Jiji Press melaporkan, agensi perkhidmatan kewangan Jepun pada hari ini memulakan pemeriksaan ke atas firma itu.

Jepun merupakan pusat utama bagi mata wang maya dan sebanyak 50,000 kedai di negara ini dipercayai menerima bitcoin dalam sebarang transaksi mereka. – AFP