Portal berita mirror.co.uk melaporkan, teknik ‘menanam’ pengalir elektrik atau elektrod rangsangan pada bahagian otak melibatkan 16 orang pesakit baru-baru ini dilihat berjaya meringankan masalah kemurungan dengan pantas, sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka secara berkesan.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal psikiatri The Lancet itu, gejala psikologi yang lebih baik serta peningkatan ketara purata indeks jisim badan (BMI) direkodkan hanya beberapa bulan selepas pesakit menggunakan teknik rawatan tersebut.

Penyakit anoreksia adalah gangguan pemakanan serius yang menyerang kira-kira 0.5 peratus masyarakat di seluruh dunia, terutamanya dalam kalangan remaja perempuan di negara Barat.

Pesakit mempunyai kebimba­ngan berterusan mengenai bentuk dan saiz tubuh badan mereka sehingga menyebabkan gejala menahan lapar secara keterlaluan demi untuk mengekalkan berat badan yang rendah.

Ketiadaan selera makan boleh membawa maut, termasuk menyebabkan masalah kesihatan yang kronik seperti kerapuhan tulang, otot lemah, kemandulan, masalah jantung dan sawan.

Para saintis yang menjalankan kajian terbaharu itu berkata, cara tersebut dapat merangsang kawasan otak yang mengawal fungsi tingkah laku dan ber­upaya me­ngubah litar otak yang mendorong kepada penyakit tersebut.

Teknik sama berkesan dalam mengurangkan gejala-gejala pe­nyakit Parkinson serta masalah gegaran pada bahagian otak.