Bertemankan walkie-talkie dan hanya dapat berkomunikasi secara ringkas dengan ‘dunia luar’ sekali seminggu, remaja tersebut diupah memasang lampu di sekitar rompong, nama lain bagi bubu ikan di Sulawesi Utara, menggunakan mesin janakuasa pada setiap malam untuk menarik perhatian ikan selama enam bulan.

Rompong merupakan alat yang berfungsi menarik perhatian ikan dan berbentuk seperti sebuah pondok selain disokong oleh pelampung serta disauh pada dasar laut menggunakan tali panjang.

Setiap minggu, nelayan akan mendapatkan ikan daripada rompong tersebut dan memberikan Aldi Novel bekalan seperti makanan, gas untuk memasak, air bersih serta minyak mesin janakuasa.

Namun pada 14 Julai lalu, selepas menjaga rompong selama beberapa bulan, Aldi Novel berdepan detik mencemaskan apabila angin kencang menyebabkannya terdampar di perairan Guam.

Lapor Jakarta Post, dia bukan sahaja keseorangan malah kelaparan, kehausan dan ketakutan.

Sebelum itu, 10 buah kapal telah belayar melepasi lelaki tersebut dan gagal untuk melihatnya ketika dia melambai meminta pertolongan.

Pada 31 Ogos lalu, kapal Arpeggio belayar melepasi Aldi Novel dan menyelamatkan remaja tersebut.

Oleh sebab kapal itu menuju ke Jepun, agensi maritim Guam mengarahkan kapten kapal mem­bawa Aldi Novel ke Toku­yama, Jepun dan berlabuh pada 6 September lalu.

Menurut Jeneral Konsulat Indonesia di Osaka, Jepun, Mirza Nurhidayat, ketika Aldi Novel dibawa angin kencang, bekalannya mencukupi untuk dia bertahan selama hanya beberapa hari, jadi lelaki itu menangkap ikan dan minum air laut.