Hal demikian kerana perjanjian yang dipersetujui antara Myanmar dan Bangladesh untuk menghantar pulang pelarian Ro­hingya ke tempat asal mereka di­lihat mempunyai agenda tersendiri dan tidak meyakinkan.

Seorang pelarian, Mohammad Syed berkata, komuniti Rohingya tidak akan mematuhi perjanjian yang dibuat oleh kedua-dua negara berkenaan.

“Apabila kami pulang, tentera Myanmar akan terus menyeksa dan membunuh kami seperti mana yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Beberapa pertubuhan hak asasi manusia sebelum ini melahirkan kebimbangan berhubung pelan penghantaran semula etnik Rohingya ke Rakhine susulan keadaan di negeri itu yang disifatkan masih belum selamat.

Seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Dolu membe­ritahu, persetujuan tersebut adalah satu perangkap untuk terus menindas etnik Rohingya.

“Itu adalah satu perangkap. Myanmar memberikan jaminan bahawa keadaan akan berubah, namun apabila kami pulang, keadaan itu pasti berubah dan kami akan terus ditindas.

“Saya lebih rela tinggal di sini (kem pelarian). Kami dapat makanan serta tempat berlindung, malah dapat menunaikan solat secara bebas,” jelasnya.

Seorang lagi pelarian Rohingya yang tinggal di kem pelarian Kutupalong, Aziz Khan, 25, mendesak supaya kerajaan Myanmar mengiktiraf Rohingya sebagai rakyat negara tersebut.

“Kerajaan Myanmar perlu memberi kami kad pengenalan yang sebenar serta iktiraf kami sebagai rakyatnya dan selepas itu baru kami pulang. Jika tidak, kami sanggup mati di sini, di Bangladesh,” katanya. – AFP