Rekahan di ladang rumput di bahagian timur Kilauea tersebut merupakan kali ke-16 dilaporkan sejak gunung berapi itu meletus lapan hari lalu.

Ribuan penduduk terpaksa melarikan diri dari rumah mereka di Big Island, Hawaii disebabkan lava dan gas bertoksid selain meng­akibatkan puluhan rumah musnah, lapor Channel News Asia.

Rekahan baharu itu mula terbentuk kira-kira 1.6 kilometer ke timur sistem bolong sedia ada yang telah menghancurkan kawasan kediaman Leilana Estate di pulau itu dengan beberapa rumah berhampiran bolong itu turut musnah.

Sementara itu, Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memberi amaran bahawa mungkin lebih banyak letusan akan terus berlaku.

“Rekahan itu sangat hampir dengan rumah saya, menakutkan,” kata Haley Clinton, 17, yang berada di kawasan tersebut untuk melihat rekahan baharu bersama ayahnya, Darryl dan adiknya, Jolon.

“Fenomena yang sangat menarik,” katanya.

Rekahan tersebut mengeluarkan bunyi ngauman kuat seperti korus enjin jet dari wap bolong dan gas selain bercampur dengan bunyi cecair lava yang meruap.

Dalam tempoh beberapa jam selepas bukaan itu, rekahan tersebut menghamburkan lava berwarna merah hitam setinggi kira-kira 12 meter dan sekurang-kurangya 45 meter panjang selain ketulan magma yang dihamburkan setinggi 30 meter ke udara.

Sementara itu, USGS turut melaporkan terdapat gempa bumi kecil berukuran 3.5 Richter melanda pulau itu semalam.