Saintis percaya tulang haiwan itu yang 70 peratus daripadanya masih dalam keadaan baik ketika ditemukan di Wyoming, Amerika Syarikat (AS) pada 2013 ‘kemungkinan spesies baharu’.

Pembeli rangka itu merupakan seorang pengumpul bahan seni yang enggan dikenali namun berjanji akan meminjamkan spesimen berkenaan kepada pihak muzium.

Pusat lelongan Claude Aguttes memaklumkan, pembeli tersebut mahu ‘mempamerkan rangka itu di sebuah muzium di Perancis’.

Petugas di pusat lelongan itu, Eric Mickeler berkata, rangka dinosaur berukuran lebih sembilan meter panjang dan 2.6 meter tinggi itu dipercayai hidup pada akhir zaman Jurassic.

Jelasnya, haiwan tersebut merupakan satu-satunya spesies yang belum pernah ditemukan.

Pakar dinosaur, Eric Geneste memberitahu AFP, sukar untuk mengklasifikasikan tulang itu sebagai ‘allosaurus’ kerana lebih teguh selain mempunyai tulang belikat yang lebih panjang dan jumlah gigi yang berbeza.

“Malah terdapat banyak perbezaan antara tulang yang ditemukan dengan ‘allosaurus’ se­perti perbezaan antara manusia dengan gorila,” katanya.

Pembida dari Jepun dan Sweden yang menghubungi pusat lelongan itu cuba membeli rangka dinosaur dengan membida lebih daripada harga jangkaan 1.8 juta euro (RM8.3 juta).

Mickeler berkata, lazimnya ahli perniagaan yang membeli rangka dinosaur tidak teruja dengan herbivor berbanding karnivor.

Sebahagian daripada hasil lelongan oleh pengumpul Britain itu akan disalurkan kepada kerja-kerja penggalian bahan arkeo­logi. – AFP