POLIS Thailand menahan seorang lelaki warga Malaysia dipercayai dalang sindiket dadah antarabangsa yang menyeludup dadah jenis ice ke Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai, Thailand, kelmarin. BERNAMA

Lelaki berkenaan yang dikenali hanya sebagai ‘Mr T’ dipercayai berasal dari Johor dan pihak berkuasa negara ini turut berjaya menahan dua lagi rakannya yang cuba menyeludup 282 kilogram dadah berkenaan yang bernilai berjuta-juta ringgit ke Malaysia melalui sempadan Sadao pada Mac tahun lalu.

‘Mr T’ ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai semalam sebaik sahaja tiba dari Chiang Rai.

Menurut Timbalan Komander Biro Pencegahan Narkotik (NSB) Thailand, Mejar Jeneral Supakit Srijantaranon, dua lelaki Malaysia yang ditahan bersama-sama 282 kilogram pada tahun lalu memberitahu pihak berkuasa bahawa dadah itu milik ‘Mr T’.

“Mereka turut memaklumkan lelaki dari Johor itu telah mela­kukan empat penyeludupan dadah ke Malaysia setiap satunya membawa dadah ice seberat 100 kilogram ke lokasi yang dirahsiakan,’’ ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Polis negara ini juga berjaya menahan seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Taiwan di Chiang Rai termasuk seorang lagi wanita tempatan di Chiang Mai semalam yang kesemuanya dipercayai anggota sindiket dadah antarabangsa.

Ketua NSB, Leftenan Jenerai Sommai Kongvisaisuk yang turut hadir dalam sidang akhbar itu memberitahu, pihak polis percaya ‘Mr T’ pergi ke Chiang Rai untuk menempah penghantaran dadah.

“Lelaki Malaysia itu dan isterinya yang merupakan warga tempatan mengendalikan perniagaan ini,” katanya.

Sementara itu, Srijantaranon berkata, berikutan penahanan empat suspek itu, pihak berkuasa berjaya merampas wang tunai pelbagai negara bernilai RM3.8 juta dan lain-lain aset bernilai 20 juta baht (RM2.5 juta).

Sejumlah aset yang bernilai 20 juta baht turut dirampas dari sindiket itu beberapa bulan lalu menjadikan keseluruhan jumlah aset yang dirampas daripada sindiket berkenaan bernilai 70 juta baht (RM8.9 juta).

Beliau berkata, pihak berkuasa negara ini menerima kerjasama baik dari China dan Malaysia termasuk negara-negara ASEAN lain dalam me­ngumpul maklumat tentang sindiket berkenaan dan penahanan anggota utama kumpulan itu. – BERNAMA