Lebih 109 juta pengundi berdaftar layak mengundi di hampir 100,000 pusat pengundian yang dibuka seawal pukul 8 pagi di 85 wilayah di negara ini.

Menurut portal berita Al-Jazeera, terdapat juga stesen pe­ngundian untuk angkasawan Ru­sia, Anton Shkaplerov yang me­rupakan komander krew di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk mengundi.

Dengan pencabar utama Putin, Alexei Navalny dihalang daripada bertanding atas alasan undang-undang, ramai berpendapat keputusan pilihan raya itu sudah dapat diramal.

Tetapi jumlah pengundi ke­seluruhan menjadi satu-satunya unsur kejutan jika sebahagian besar pengundi tidak menunaikan tanggungjawab mereka.

Kremlin memerlukan jumlah undian yang besar untuk mening­katkan kuasa Putin yang sudah menjadi pemimpin paling lama berkhidmat di Rusia sejak Joseph Stalin.

Tinjauan pendapat menunjukkan Putin bakal memperoleh 70 peratus sokongan atau hampir 10 kali lebih tinggi berbanding pencabar terdekatnya.

Putin yang bertanding di bawah slogan ‘Presiden yang kuat, Rusia yang kuat’ enggan mengambil bahagian dalam perdebatan tele­visyen dan tidak mengeluarkan sebarang bahan baharu untuk iklan kempennya tahun ini.

Beliau berdepan tujuh calon lain termasuk jutawan, Pavel Grudinin; ahli politik, Vladimir Zhirinovsky dan bekas pengacara program realiti televisyen, Ksenia Sobchak tetapi pencabarnya itu dijangka meraih undi tidak lebih lapan peratus. – AFP/REUTERS