Justeru, jurucakapnya, Abu Hafez Al-Hakim menggesa pemimpin dan komuniti antarabangsa untuk membantu mencari penyelesaian politik bagi menamatkan keganasan di selatan negara itu.

Beliau berkata pendekatan ketenteraan yang digunakan oleh kerajaan setakat ini gagal membendung kejadian keganasan dan konfrontasi tetapi sebaliknya permusuhan dan tindakan balas daripada kumpulan pemisah meningkat.

"Proses perdamaian sekarang yang menjanjikan harapan kepada rakyat sering terhenti akibat kurangnya komitmen, keikhlasan dan keazaman politik yang kuat.

"Hanya melalui penglibatan dan sokongan antarabangsa, penyelesaian politi yang sebenar dapat dicapai demi keamanan yang adil, komprehensif dan berkekalan di Pattani," katanya dalam surat terbuka.

Surat terbuka dikirim kepada pemimpin dan pertubuhan dunia yang terkemuka termasuk Perdana Menteri Thailand dan Malaysia, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Geneva Call dan Amnesty International.

Abu Hafez berkata konflik di Patani bukan lagi merupakan isu domestik Thailand tetapi menjadi salah satu isu serantau yang memerlukan campur tangan antarabangsa.

"Ia bersifat politik dengan puncanya yang berakar umbi dari sejarah perlu ditangani.

Justeru, pendekatan untuk menyelesaikan konflik mestilah bersifat politik bukan melalui kekerasan atau penindasan.

"Semua undang-undang yang zalim dan tidak adil yang memberi kesan kepada kehidupan seharian rakyat hendaklah dimansuhkan serta-merta dan tanpa syarat memandangkan kerajaan yang dipilih sekarang memegang tampok kuasa. Rakyat Patani mesti diberi hak untuk menentukan masa depan mereka sendiri seperti dijamin oleh Piagam PBB, "katanya.

Setakat ini, kira-kira 7,000 orang maut dalam konflik di empat wilayah di selatan Thailand - Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla sejak ia meletus pada 2004. - BERNAMA