Khaw Kim-sun, 53, yang juga pakar anestesiologi, menggeleng-geleng kepala dan memandang ke arah tiga lagi anaknya yang duduk dalam Mahkamah Tinggi ketika keputusan dibacakan kepadanya, lapor stesen televisyen RTHK.

Anak perempuan sulungnya dilihat menangis teresak-esak ketika mendengar keputusan tersebut.

Pihak pendakwaraya memberitahu mahkamah, Kim-sun meletakkan bola mudah terbakar itu dalam but sebuah kereta menyebabkan gas itu keluar dan membunuh mangsa.

Isterinya, Wong Siew-fing dan anak perempuannya, Lily, 16, ditemukan terkunci dalam kereta jenis Mini Cooper di tepi jalan pada 2015, kes yang pada awalnya membingungkan pihak polis.

Kedua beranak itu disahkan meninggal dunia di hospital yang juga tempat Kim-sun bertugas manakala bedah siasat mendapati mereka meninggal dunia akibat terhidup karbon monoksida.

Pihak polis menemukan bola itu di belakang kereta terbabit.

Pihak pendakwaan menuduh Kim-sun yang juga Profesor di Universiti China Hong Kong cuba menyembunyikan rancangan pembunuhan itu kerana mempunyai hubungan sulit dengan seorang penuntutnya.

Mahkamah semasa perbicaraan sebelum ini diberitahu bahawa tertuduh memberitahu rakan sejawatnya bahawa dia mahu menggunakan gas itu kepada arnab namun dia kemudian memberitahu polis mahu menggunakan gas itu untuk menghapuskan tikus di rumahnya.

Selepas ditahan polis, tertuduh turut memberitahu pihak polis bahawa Lily mengetahui tentang bahaya gas dalam bola yoga itu dan mendakwa anak perempuannya itu mahu membunuh diri.

Kes tersebut adalah kes kedua siasatan pembunuhan yang melibatkan pakar akademik sejak beberapa bulan lalu.

Pada Ogos lalu, seorang Profesor di Universiti Hong Kong ditahan kerana disyaki membunuh isterinya selepas pihak polis menemukan satu mayat yang disumbat dalam sebuah beg di pejabatnya. - AFP