Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam catatan terbaharu pada laman Facebook berkata, pasukan itu menyedari saranan yang menggalakkan rakyat Malaysia di luar negara untuk menyokong aktiviti politik, termasuk oleh Global Bersih, berhubung pilihan raya umum akan datang di Malaysia.

“Warga asing yang melawat, bekerja atau tinggal di Singapura tidak boleh menggunakan negara ini sebagai platform untuk meneruskan gerakan politik me­re­ka. Warga asing mesti mematuhi undang-undang kami.

“Perhimpunan awam di Si­ngapura dikawal selia di bawah Akta Ketenteraman Awam dan menganjurkan atau menyertai perhimpunan awam tanpa permit polis adalah haram,” kata­nya.

Menurut SPF, pihaknya tidak akan memberikan apa-apa permit untuk mengadakan perhimpunan yang dianjurkan oleh atau melibatkan bukan rakyat Singapura untuk tujuan politik atau kempen pilihan raya.

“Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana orang yang menganjur atau menyertai perhimpunan awam yang me­langgar undang-undang.

“Mereka yang tidak mematuhi undang-undang akan diambil tindakan dengan tegas termasuk kemungkinan penamatan visa atau pas kerja, yang mana ber­kenaan,” katanya. – BERNAMA